KOTA PADAWAN: Gereja St. Ann, Kota Padawan menerima dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tambahan berjumlah RM100,000 bagi menambah kemudahan tempat letak kereta di kawasan gereja demi keselesaan umat dan pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, kemudahan tersebut amat diperlukan memandangkan kawasan gereja sering dipenuhi kenderaan, terutama ketika sambutan keagamaan dan perayaan besar.

FOTO GHAZALI BUJANG
“Peruntukan ini bagi menambah kemudahan tempat letak kereta di dalam kawasan gereja kerana jumlah kehadiran umat boleh mencecah ribuan orang ketika sambutan keagamaan dan perayaan besar seperti Krismas serta Jumaat Agung.
“Jumlah umat yang hadir untuk misa Ahad juga boleh mencecah lebih 2,000 orang bagi setiap misa, manakala sambutan besar mampu menarik kehadiran antara 4,000 hingga 6,000 orang.
“Justeru, peruntukan ini digunakan untuk melengkapkan kemudahan parkir di dalam kawasan gereja yang kini menyediakan kira-kira 94 petak tempat letak kereta,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan cek replika dana RTP kepada Gereja St. Ann, Kota Padawan, hari ini.
Menurut beliau, kemudahan tersebut melengkapkan usaha terdahulu termasuk peruntukan RTP berjumlah RM200,000 yang diperoleh sebelum ini bagi membangunkan kawasan parkir di belakang Sekolah Menengah (SM) Chung Hua untuk kegunaan Gereja St. Ann.

“Setakat ini, sebanyak 94 petak tempat letak kereta di dalam kawasan gereja sudah siap. Secara keseluruhan, terdapat lebih 200 petak tempat letak kereta untuk kemudahan gereja ini.
“Bagi kawasan parkir di luar gereja pula, kita masih memerlukan kira-kira RM500,000 lagi dan projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa.
“Sebelum ini, kawasan parkir memang sudah ada, tetapi tidak mencukupi. Dengan tambahan RM100,000 ini, kita dapat melengkapkan kemudahan parkir di dalam kawasan Gereja St. Ann,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lo turut merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas sumbangan kepada pembangunan Gereja St. Ann, Kota Padawan, termasuk pembinaan bangunan kelas Sekolah Minggu.
“Bangunan ini menyediakan 14 kelas untuk kegunaan pendidikan agama, sekali gus memberi manfaat besar kepada komuniti gereja.
“Namun, bagi kerja berkaitan infrastruktur seperti tempat letak kereta, ia menjadi tanggungjawab wakil rakyat kawasan untuk membantu melalui peruntukan seperti RTP,” ujarnya.
Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana menyediakan peruntukan RTP kepada wakil rakyat bagi melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Gereja ini merupakan antara penerima manfaat peruntukan tersebut,” tambahnya.
Sementara itu, Paderi Gereja St. Ann, Kota Padawan, Reverend Father Friar Don Don Romero Ramerez mengajak orang ramai hadir memeriahkan sambutan Gawai dan Kaamatan yang akan diadakan di gereja berkenaan pada 15 hingga 17 Mei ini.
“Gereja St. Ann mempunyai 27 komuniti paroki dari kampung sekitar Padawan dan sambutan itu menjadi ruang untuk meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh hubungan masyarakat.
“Majlis pembukaan sambutan ini akan berlangsung pada 16 Mei bermula jam 8 pagi dengan misa sebelum diteruskan dengan pelbagai acara perayaan.
“Sambutan ini menampilkan rumah panjang dengan pelbagai persembahan kebudayaan, makanan tradisional serta penyertaan pelbagai komuniti termasuk Bidayuh, Iban, Melanau dan lain-lain yang mempamerkan keunikan dialek serta budaya masing-masing,” tambahnya.


