Ghazali ditidurkan 52 hari

KUCHING: Berjaya bertarung nyawa dan mengharungi saat getir dalam menghadapi Covid-19 merupakan pengalaman tragik bagi individu yang pernah berdepan dengan ujian ini.

Saat getir ini berjaya diharungi Mohamad Ghazali Abdul Rahman yang bangkit semula akibat pandemik Covid-19 – Kluster Itali.

Malah dia hilang lima ahli keluarganya.

Dimasukkan ke hospital pada 21 Mac tahun lalu, berat badan Ghazali ketika itu 90 kg.

Namun selepas 92 hari bertarung nyawa, berat badannya menyusut sebanyak 30 kg.

Jelas Ghazali, tiada siapa yang mahukan laluan sukar dalam hidup, namun apabila takdir ditentukan sedemikian, semuanya harus dilalui satu persatu dengan tabah dan tawakal.

Menceritakan sejarah bergelar pesakit Covid-19, Ghazali memberitahu bahawa pada hari pertama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada 18 Mac tahun lalu, dia telah kehilangan ibunya Rokayah Drahman.

Jelas Ghazali, ketika itu, tiada yang pelik tentang pemergian arwah ibunya kerana dianggap sakit biasa dan sakit tua.

“Malah keluarga kami dan masyarakat sekeliling belum peka dengan keadaan wabak Covid-19 dan ramai sanak saudara dan rakan-rakan datang ke rumah tanpa tahu bahawa ibunya telah dijangkiti Covid-19.

“Pada hari yang sama, adik saya Norafizah Abdul Rahman dan Norismadi Abdul Rahman telah dimasukkan ke hospital kerana menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

“Selepas dua arwah ibu dikebumikan, saya menerima berita mengejutkan apabila keputusan ujian menunjukkan arwah ibu sebenarnya meninggal akibat Covid-19 malah kedua-dua adik saya turut positif,” katanya.

Berikutan itu, seluruh ahli keluarga diminta membuat saringan kesihatan dan dikuarantin di rumah mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Menurut Ghazali, setelah didapati positif dan dimasukkan ke hospital pada 21 Mac 2020, dia mendapat khabar duka adiknya Norafizah Abdul Rahman meningal dunia.

“Kami masih dapat menerima kenyataan, tetapi dua hari selepas itu, adik saya Norismadi Abdul Rahman pula yang meningal dunia.

“Apabila mendengar khabar tersebut, saya tidak dapat menerima kenyataan.

Saya berasa sesak nafas, letih dan sebagainya dan terus dimasukkan di unit rawatan rapi dan di situlah saya telah menggunakan alat pernafasan dan ditidurkan selama 52 hari,” jelasnya.

Ghazali berkata demikian pada program bual bicara mengenai kisah tragis dan pengalaman menghadapi Covid-19 daripada Kluster Itali melalui Facebook Live Borneo Channel di sini, malam semalam.

Mengenai asal-usul Kluster Itali jelas Ghazali, banyak persoalan timbul di minda mereka sekeluarga.

“Dari mana, bila wabak ini menjangkiti keluarga kami?

“Persoalan ini hanya terjawab selepas adik saya dijangkiti oleh rakan sekerja yang baharu pulang dari Itali.

“Maka keluarga kami mendapat gelaran khas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – Kluster Itali,” jelasnya.

Ghazali menceritakan bahawa dia telah ditidurkan selama 52 hari oleh doktor demi meredakan serangan virus Covid-19 yang memamah organ dalamannya.

“Selama 52 hari saya ‘dikomakan’. Apabila sedar, saya dapati saya terkena sakit kuning, mata seperti terjojol keluar, hilang suara, meracau dan terpinga-pinga dengan keadaan.

“Syukur tidak terkira apabila saya diberi peluang untuk pulih. Ini keajaiban Allah untuk saya dan ada hikmah di sebalik semua ini,” tambahnya sambil berterima kasih kepada semua orang yang mendoakan mereka sekeluarga selama ini.

Menurutnya, doktor juga terpaksa membuat trakeostomi atau tebukan pada leher bagi memasukkan tiub untuk memudahkan proses pernafasannya.

“Sembilan bulan saya makan menggunakan tiub dan hanya mengambil susu.

Syukur kerana saya tidak lagi menggunakan tiub untuk makan,” katanya.

Selepas sembuh, Ghazali sekali lagi berdepan dengan cabaran iaitu dia dan keluarganya berdepan dengan stigma negatif masyarakat sebagai bekas pesakit Covid-19.

“Selama 92 hari saya berada di hospital, keluarga saya berdepan dengan pelbagai persepsi masyarakat.

“Penduduk kampung yang biasanya ramah bertukar menjadi sepi, malah penduduk kampung yang biasanya melalui jalan rumah kami tidak lagi melalui jalan yang sama sebaliknya mereka menggunakan jalan lain.

“Paling menyedihkan peristiwa setelah bebas daripada virus tersebut.

Saya mahu ke surau, namun ada yang memberi pesanan supaya bekas pesakit Covid-19 tidak boleh ke surau,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazali berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah menanggung semua kos perubatan selama dia berada di hospital.

“Ini menunjukkan bahawa dalam menghadapi pandemik ini, kita perlu akur dan patuh semua perintah yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

“Hal ini kerana keputusan kerajaan tersebut bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi untuk membantu rakyat,” katanya.

Melihat perkembangan Covid-19 masa ini, Ghazali menjelaskan bahawa Kluster Pasai masih menunjukkan trend peningkatan di negeri ini.

Jelasnya, kluster itu turut mengalami kisah yang sama iaitu majlis pengebumian.

“Kita melihat masyarakat luar bandar kurang menerima maklumat tepat akan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan ramai masyarakat yang tidak tahu akan pergi melawat sebagainya.

“Justeru usaha kerajaan dalam melakukan kuarantin dari Semenanjung, PKPB dan sebagainya perlu kita patuhi kerana ia adalah kekuatan menghalang tersebar dalam masyarakat,” katanya.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu pesakit Covid-19 dan bertarung nyawa untuk memastikan keselamatan rakyat terjaga,” tambahnya.

Suara Sarawak