Giat kesan kontak rapat kes Covid-19

KANOWIT: Susulan daerah ini diisytiharkan zon merah pada Rabu, Pejabat Kesihatan Daerah Kanowit dan Hospital Kanowit digesa untuk bekerja lebih gigih mengesan mereka yang disyaki menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di sini.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, proses pengesanan kontak sangat penting setelah kes Covid-19 dikesan di hampir 10 rumah panjang di sini.
“Saya telah memberitahu, jika kita dapat mengesan mereka yang disyaki menjadi kontak rapat dengan pesakit, kita dapat menempatkan mereka dengan segera di bawah kuarantin untuk mengelakkan virus itu merebak lebih jauh lagi.
“Seperti yang kita sedia maklum, virus memerlukan badan manusia untuk merebak.
Ia akan mati dengan sendirinya jika gagal mencari orang baharu setelah 14 hari,” katanya di sini, semalam.
Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata, selain rumah panjang, kes positif Covid-19 turut dikesan di salah sebuah sekolah menengah di sini, bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.
Kes pertama positif Covid-19 dikesan di sini pada 12 Januari lalu dengan 12 kes dengan semuanya berkaitan Kluster Pasai yang diumumkan pada 9 Januari lalu.
Semalam, Kanowit mencatatkan 43 kes Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 77 kes yang membabitkan jangkitan Kluster Pasai.
Dengan 77 kes itu, daerah Kanowit bertukar kepada ke zon merah dalam masa kurang 14 hari.
Aaron Ago Dagang menyifatkan kes Covid-19 di Kanowit sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
“Ini adalah kes yang menyedihkan kerana kita dapat melihat bagaimana virus itu merebak dengan cepat ke seluruh daerah hanya kerana satu atau dua individu pergi ke Pasai untuk menghadiri upacara pengebumian dari 29 hingga 31 Disember 2020 di Rumah Langi Ambau, Pasai Siong di Sibu.
“Situasi ini sangat membimbangkan. Saya telah menghubungi pejabat daerah, Hospital Kanowit, Pejabat Kesihatan Daerah Kanowit, pemimpin tempatan dan pentadbiran sekolah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di Kanowit.
“Saya harap tidak akan ada generasi kedua kes ini di bawah Kluster Pasai,” tegasnya.
Beliau menambah, pihak berkuasa juga telah membuat sekatan pergerakan di rumah panjang yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19.
Beliau kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19 daripada Kluster Pasai pada 18 Januari lalu.
Mangsa berusia 55 tahun berasal dari Rantau Kemiding, Kanowit, tambah Aaron.
Sementara itu, sebuah rumah panjang di Kanowit iaitu Rumah Taboh Rimau di Nanga Ngungun telah mengadakan upacara khas bagi menolak bala daripada ancaman Covid-19 ini.
Menurut sumber dari rumah panjang tersebut, upacara itu dikendalikan oleh Tuai Rumah Taboh dengan dua upacara iaitu Nyukur dan sembahyang khas mengikut agama Kristian.

Suara Sarawak