BAU: Usaha memperluas akses bekalan air bersih ke luar bandar terus dipergiat susulan projek penyambungan air di sekitar Tasik Biru giat dilaksanakan, khususnya melibatkan kawasan berbukit dan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, inisiatif ini memberi manfaat besar kepada penduduk menerusi pelaksanaan berterusan di bawah Agensi Pembangunan Penyelarasan Greater Kuching (GKCDA) serta Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Sebanyak RM9 juta diperuntukkan di bawah GKCDA bagi memperkukuh sistem bekalan air, khususnya di kawasan terpencil dan kurang mendapat liputan.
“Antara keperluan utama ialah pembinaan stesen penggalak air bagi memastikan tekanan air mencukupi, terutama di kawasan yang jauh dari paip utama.
“Terdapat rumah di kawasan berbukit tidak dapat menikmati bekalan air tanpa sistem penggalak. Justeru, pihak berkuasa sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk pembinaan kemudahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sarawak Tribune selepas majlis penutupan sesi Dialog Awam BiSingai di Pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Henry menjelaskan projek ini direka untuk memudahkan rakyat, termasuk menyediakan sambungan sehingga ke meter air tanpa melibatkan kos pemasangan kepada penduduk.
Tambah beliau, pendekatan itu juga membantu mengatasi cabaran lazim di kawasan luar bandar seperti kos pengorekan jalan yang tinggi serta proses permohonan yang mengambil masa panjang.

