KUCHING: Golongan profesional seperti jurutera, arkitek dan perunding kejuruteraan di Sarawak kini berdepan tekanan berganda apabila amalan perundingan kejuruteraan (ECP) berada dalam keadaan yang tidak mampan.
ADUN Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang berkata, punca utama adalah Skala Bayaran Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) yang kekal statik meskipun kos operasi seperti gaji, perisian, perkakasan dan insurans semakin meningkat saban tahun.
‘’Lebih membimbangkan, amalan tender terbuka yang memaksa diskaun antara 30 hingga 50 peratus daripada kadar rasmi telah menjadi norma dalam industri, sekali gus menjejaskan integriti dan kualiti pembangunan negeri.
“Kita tidak boleh terus menghantar mesej salah kepada generasi muda. Dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, seramai 800 pelajar Sarawak tidak hadir peperiksaan – ini menunjukkan mereka telah hilang motivasi.
‘’Jika jurutera pun dibayar rendah, apa lagi harapan mereka terhadap masa depan kerjaya profesional?” soalnya pada Perbahasan Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Negeri pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Tambah Lo, bagi menangani isu ini, beberapa langkah dicadangkan iaitu penguatkuasaan skala bayaran BEM; bayaran berasingan untuk Teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM); Tolak Beban Insurans Berganda seperti Insurans Tanggungan Profesional Khas Sarawak (SPII) dilihat membebankan firma kejuruteraan tempatan, terutamanya firma kecil kerana mereka telah memiliki perlindungan melalui insurans SPII nasional yang disyaratkan oleh BEM.
Adalah tidak adil untuk mengenakan bayaran berganda atas perlindungan risiko yang sama kerana jika klien mahukan perlindungan tambahan, kos itu sewajarnya ditanggung oleh pihak klien, katanya.
‘’Golongan profesional yang membina asas fizikal pembangunan negeri tidak harus dibiarkan tertekan dengan dasar yang pincang.
Sokongan terhadap mereka adalah pelaburan jangka panjang demi memastikan pembangunan Sarawak terus berlangsung dengan integriti dan wawasan, katanya lagi.
Pada masa sama kata Lo, ketidakseimbangan ketara dalam pengagihan balai bomba di Malaysia mencetuskan kebimbangan, khususnya di Sarawak yang hanya mempunyai 39 balai bomba berbanding 261 di Semenanjung Malaysia, meskipun saiz geografinya hampir sama.
‘’Sarawak merupakan negeri terbesar di negara ini, namun jumlah balai bombanya hanya lebih satu daripada Selangor yang memiliki 38 balai, walaupun saiz negeri itu kurang daripada 10 peratus keluasan Sarawak.
‘’Walaupun pengagihan dikatakan berdasarkan kepadatan penduduk, risiko kebakaran di kampung terpencil tanpa akses segera kepada bantuan kekal tinggi.
‘’Dalam situasi serba kekurangan, pasukan Bomba di Sarawak tetap menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berani, sering menggadaikan keselamatan demi menyelamatkan nyawa dan harta benda,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta agar Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen untuk menyampaikan perkara ini kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, agar prasarana dan dana tambahan disalurkan segera.

