KUCHING: Kuching bakal menjadi tumpuan komuniti kreatif antarabangsa apabila Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak menganjurkan Good Design Week (GDW) 2026 selama tujuh hari bermula 30 November depan hingga 6 Disember 2026.
Menariknya, GDW 2026 turut menampilkan dua bengkel eksklusif yang dikendalikan tokoh berpengalaman dalam industri televisyen dan hiburan Hong Kong, sekali gus membuka peluang kepada peserta tempatan mempelajari selok-belok penerbitan drama televisyen serta teknik pengacaraan profesional.
“Program sepanjang minggu itu merangkumi empat komponen utama, iaitu pameran antarabangsa In-Between Realities, simposium antarabangsa, Industry X Day 2026 serta dua bengkel khas bersama delegasi profesional industri televisyen Hong Kong,” kata kenyataan itu, hari ini.
Jelasnya, semua aktiviti sepanjang program berkenaan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai, termasuk pelajar, penggiat industri kreatif, pendidik, usahawan serta masyarakat umum.
Sementara pada 2 Disember, GDW 2026 turut menampilkan simposium antarabangsa bertemakan Creative Profitability in Design, Arts, and Emerging Media di kampus Swinburne Sarawak.
Simposium itu menghimpunkan 14 penceramah dari lapan negara, termasuk pengamal kreatif, ahli akademik, penyelidik dan profesional industri untuk membincangkan inovasi kreatif serta perkembangan media baharu.
Antara bidang yang diketengahkan ialah AI, media digital, inovasi reka bentuk, keusahawanan kreatif, warisan budaya, teknologi imersif dan kerjasama rentas disiplin.
Antara penceramah yang mengambil bahagian ialah Profesor John McCormick dan Profesor Gianni Renda dari Universiti Teknologi Swinburne, Melbourne.
Pada hari sama, Industry X Day 2026 turut dianjurkan bagi menghubungkan sektor pendidikan, kreativiti, teknologi dan industri.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual program dan pendaftaran menerusi laman web rasmi www.swinburne.edu.my/events/good-design-week-2026.




