KUCHING: Graduan teknikal dan vokasional Sarawak semakin mendapat pengiktirafan apabila kemahiran yang dimiliki membuka peluang pekerjaan di pasaran antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan seorang graduan Sarawak Skills yang kini bekerja di Amerika Syarikat membuktikan bahawa tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran yang diperlukan oleh majikan di seluruh dunia.
“Saya melihat dalam video seorang graduan yang bekerja di Amerika Syarikat.

Ini bermakna tenaga kerja kita mendapat permintaan di peringkat global.
“Jika Amerika Syarikat mahukan tenaga kerja kita, ini menunjukkan rakyat Sarawak mampu ke sana dan bekerja berdasarkan kemahiran yang dimiliki,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills Ke-28 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada Sarawak Skills atas penyediaan program latihan yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan global.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memperluas akses kepada pendidikan tinggi menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Usaha ini bagi meringankan beban kewangan ibu bapa serta memberi peluang kepada pemegang diploma dari Sarawak yang layak untuk melanjutkan pengajian di universiti dalam negeri.
Beliau turut menggalakkan graduan agar terus mengembangkan kerjaya masing-masing sambil mengingatkan bahawa diploma yang diperoleh perlu dijadikan asas untuk pembangunan profesional seterusnya.
“Masa depan adalah milik anda. Kami semakin berusia dan graduan hari ini merupakan golongan yang akan mengambil alih tanggungjawab pada masa hadapan.
“Anda boleh menjadi pengurus korporat, jurutera korporat, malah meningkatkan kedudukan kerjaya daripada juruteknik kepada jawatan yang lebih tinggi,” katanya.
Abang Johari turut menzahirkan harapan agar semua graduan berjaya dalam bidang masing-masing serta menyumbang kepada aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia.





