SEBUYAU: Kecanggihan kamera litar tertutup (CCTV) belum tentu mampu menghalang kegiatan vandalisme sekiranya masyarakat terus mengambil sikap tidak peduli akan keselamatan kemudahan utiliti dan telekomunikasi awam.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, usaha melindungi infrastruktur memerlukan kerjasama semua pihak kerana langkah keselamatan semata-mata tidak mampu membendung perbuatan vandalisme sepenuhnya.
“Kadangkala mereka tidak mempedulikan CCTV yang dipasang.

Malah, mereka boleh memanipulasi atau merosakkan kamera tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Pencegahan Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Taklimat Keselamatan Elektrik Daerah Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, di sini, hari ini.
Pada masa sama Julaihi memberitahu, antara lokasi yang berdepan masalah vandalisme serius adalah di Sungai Rayah, Sarikei, yang turut dilengkapi CCTV bagi membolehkan pemantauan dilakukan dari ibu pejabat di Kuching.
“Lokasi itu merupakan antara lima tempat yang dikenal pasti mengalami masalah vandalisme agak serius, khususnya kegiatan mencuri kabel,” katanya.
Bagi memperkukuh keselamatan kemudahan berkenaan, tegasnya Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) terpaksa membina pagar konkrit setinggi kira-kira tiga meter yang dilengkapi dawai berduri di bahagian atas.
Menurutnya, pembinaan pagar keselamatan itu melibatkan perbelanjaan tambahan kira-kira RM100,000, sekali gus meningkatkan kos operasi agensi berkaitan.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai pembaziran sumber kerana peruntukan yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan terpaksa disalurkan bagi melindungi kemudahan daripada kegiatan jenayah, selain gangguan perkhidmatan Internet kepada penduduk.
Katanya, vandalisme turut menjadi cabaran kepada sistem bekalan elektrik, terutama lampu jalan, apabila terdapat kejadian tiang dirosakkan atau ditebang, wayar dipotong serta kabinet kabel di tepi jalan diusik.
Jelasnya, kesan perbuatan itu bukan sekadar mengakibatkan kerugian kewangan, malah menjejaskan kehidupan masyarakat apabila bekalan elektrik, air dan perkhidmatan telekomunikasi terganggu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri terus memperluas kempen kesedaran pencegahan vandalisme ke peringkat bahagian, daerah, daerah kecil dan sekolah bagi memupuk rasa tanggungjawab masyarakat dalam menjaga kemudahan awam.






