KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuktikan kredibilitinya sebagai kerajaan yang ‘cakap serupa bikin’ menerusi pencapaian yang dikecapi sepanjang menerajui negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan ekonomi Sarawak antara yang menyerlah pada tempoh kebelakangan ini berpaksikan dasar jangka panjang yang mantap di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
“Hala tuju ekonomi Sarawak ke arah ekonomi hijau dan mampan merupakan suatu dasar yang tepat untuk mengangkat status ekonomi Sarawak kepada sebuah ekonomi yang maju dan berpendapatan tinggi.
“Ini terbukti apabila Bintulu dipilih sebagai sebuah daripada 43 buah Kluster Industri Peralihan (TIC) di seluruh dunia, dan yang pertama di Malaysia, di bawah kelolaan Forum Ekonomi Dunia.
“Jika Bintulu di Utara Sarawak menjadi antara pusat transformasi industri yang beralih kepada tenaga bersih, Tanjung Embang di Selatan direka bentuk untuk menjadi pintu masuk kepada jaringan ekonomi yang lebih luas sebagai sebuah hab rendah karbon di negara dan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Tanjung Embang yang disokong sebuah lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut dalam yang baharu hab rendah karbon ini akan menyuntik dana yang besar kepada ekonomi Sarawak.
“Pada dekad yang akan datang, kita menganggarkan pelaburan keseluruhan sebanyak RM100 bilion,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kesediaan bank pembangunan serantau khususnya Asian Development Bank (ADB) untuk bekerjasama dengan Sarawak juga boleh dianggap sebagai suatu pengiktirafan kepada usaha negeri untuk menjadi hab ekonomi hijau di rantau ASEAN dan Asia.
“Minggu lepas, saya mengetuai delegasi Sarawak ke ibu pejabat ADB di Manila bagi membincangkan hala tuju strategik pembangunan Sarawak serta potensi sumbangannya kepada Malaysia dan ASEAN.
“Terutama dari segi penjanaan dan pengedaran kuasa elektrik ke negara-negara ASEAN dalam usaha mengukuhkan keterjaminan kuasa elektrik di rantau ini.
“Hari ini, kita sudah melihat potensi hubungan tenaga rentas sempadan melalui bekalan elektrik ke Kalimantan dan hubungan yang sedang diperkukuh dengan Sabah, manakala Sarawak juga merancang untuk membekalkan elektrik kepada Brunei,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ini menunjukkan bahawa tenaga Sarawak mempunyai peranan yang semakin penting dalam pembangunan Borneo dan ASEAN.
“Dengan kata lain, Bumi Kenyalang sedang melangkah dengan begitu gigih dan yakin ke arah masa depan yang gemilang, sesuai dengan impian dan visi para tokoh pengasas Sarawak dalam Malaysia.
“Dengan kerjasama dan kolaborasi erat antara Kerajaan GPS dengan Kerajaan Persekutuan, saya yakin Sarawak mampu berada di puncak sebagai wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

