KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam mentadbir Bumi Kenyalang sepanjang lima tahun pentadbirannya, sekali gus membuktikan keupayaan dan kesediaan untuk terus memimpin Sarawak.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab berkata pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menjamin kesejahteraan rakyat di wilayah ini.
Menurutnya, wakil-wakil rakyat GPS giat bekerja memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan di seluruh negeri termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Kita telah menjalankan banyak projek untuk kepentingan rakyat. Itu sebenarnya yang kita nak buktikan kepada rakyat bahawa kita, kerajaan GPS adalah kerajaan yang ‘deliver’. Bukan hanya janji kosong di mulut,” katanya ketika ditemui TVS, semalam.
Yusuf yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, manfaat daripada pelaburan asing dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang memberi kemudahan langsung kepada rakyat.
Sehubungan itu, kata beliau, GPS wajar terus diberi mandat untuk mentadbir Sarawak untuk penggal seterusnya.
“Jadi tiada isu tentang kesediaan kita. Kita sentiasa bersedia. Apa yang kita nak lihat adalah kebanyakan projek ini memberi kesejahteraan kepada rakyat,” ujar beliau. – TVS


