BARIO: Sebanyak RM1,187,600 sumbangan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) bagi fasa ketiga tahun ini diagihkan kepada gereja-gereja di kawasan Bario.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan gereja-gereja di kawasan pedalaman, khususnya di Bario, terus diberikan perhatian dari segi kemudahan, keperluan asas dan kelangsungan pelayanan.
“Hari ini saya berbesar hati menyampaikan cek sumbangan UNIFOR kepada BEM Bued Main Beruh Bario (RM72,700), BEM Bario Asal (RM54,900 untuk kelengkapan gereja), BEM Bario Asal (RM250,000 untuk naik taraf Rumah Pastor), BEM Pa Umor (RM158,000), Gereja Ramapuh A Bario (RM500,000), Gereja Umum Bario (RM60,000) dan BEM Pa Mada (RM92,000),” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada UNIFOR atas sokongan signifikan tersebut, serta kepada semua pemimpin gereja dan komuniti yang terus berganding bahu membangunkan pelayanan di kawasan Bario.
Gerawat sebelum itu merasmikan Rumah Baharu Pengerusi BEM Daerah Bario serta projek naik taraf Sedayan BEM Daerah Bario.
“Rumah ini berdiri hasil jerih payah dan komitmen banyak pihak. Saya ingin menekankan bahawa rumah ini berjaya dibina melalui usaha gigih jemaah BEM di seluruh Daerah Bario yang berganding bahu menyumbang tenaga, masa dan sokongan demi memastikan pembinaan rumah dapat direalisasikan.
“Selain itu, kita juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UNIFOR yang telah menyalurkan bantuan dana untuk projek ini.
“Sumbangan ini bukan sahaja memudahkan proses pembinaan, tetapi turut menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR dalam menyokong pembangunan gereja dan masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman seperti Bario,” ujarnya.





