ARTIKEL

Dr Sim (duduk tengah) merakam gambar kenangan bersama Lee Kim Shin (kiri ketiga) dan tetamu lain pada Persidangan Hari Sungai Sarawak 2025.

Grab Sampan perkukuh mobiliti sungai Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek rintis pembuktian konsep (PoC) Grab Sampan bakal dilaksanakan di sepanjang Tebingan Sungai Kuching, sekali gus melengkapkan usaha berterusan Sarawak untuk mempertingkat dan mendigitalisasi perkhidmatan pengangkutan sungai.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata inisiatif tersebut bertujuan mengukuhkan ketersambungan awal dan akhir perjalanan serta meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan pengangkutan sungai.

“Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) mengalu-alukan cadangan progresif daripada Grab Malaysia dan kami akan menelitinya secara terperinci agar sesuai serta sejajar dengan hala tuju pembangunan pengangkutan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Hari Sungai Sarawak 2025 bersempena Hari Sungai Sedunia 2025 yang dirasmikan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, projek rintis tersebut akan dilaksanakan selama enam bulan dari tarikh pelancarannya dan meliputi lapan lokasi naik turun penumpang (PUDO) yang ditetapkan di sepanjang Sungai Kuching.

“Pendekatan baharu ini membuktikan bagaimana inovasi dan pendigitalan dapat meremajakan mod pengangkutan sungai tradisional, seterusnya menyediakan penyelesaian mobiliti yang moden, inklusif dan lestari untuk rakyat.

“Inisiatif ini juga mempromosikan mobiliti warisan dan pelancongan di koridor Tebingan Kuching,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kerjasama LSS dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menyokong pengangkutan air yang lebih mampu milik melalui pelaksanaan subsidi petrol RON95 kepada bot penumpang mulai 9 Oktober 2025.

“LSS telah menyerahkan data lebih 208 bot komersial dan kapal kecil yang mempunyai Permit Pengangkutan Sungai (RTP) kepada KPDN untuk tindakan lanjut, selain menjadi ahli dalam jawatankuasa di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi mewakili sektor pengangkutan air awam di Sarawak.

“Peranan LSS dalam jawatankuasa tersebut termasuk mengesahkan bot berdaftar yang memiliki RTP sah, menyemak data kelayakan penerima subsidi serta memastikan pemantauan rapi dibuat bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan,” ujarnya.

Tambahnya, LSS turut mengumpul data bot kecil dan perahu panjang milik komuniti luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air bagi tujuan ke sekolah, mengangkut barang, mendapatkan perkhidmatan asas dan urusan harian lain.

“Sejumlah 5,765 bot dan perahu panjang telah dihimpunkan dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) sebagai data sokongan bagi subsidi bersasar BUDI95 supaya tiada penerima layak yang tercicir,” tambahnya.

Mengulas pelan jangka panjang, beliau menjelaskan bahawa kementeriannya sedang melaksanakan beberapa inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pembangunan bersepadu sektor pengangkutan maritim dan sungai merangkumi aspek mobiliti, pelancongan serta pemuliharaan alam sekitar.

“Antara fokusnya termasuk peluasan Sistem Pengurusan Trafik Vessel (VTMS) ke Sungai Miri dan pembangunan hab pengangkutan sungai bersepadu.

“Selain itu, penambahbaikan perkhidmatan feri komuniti bagi meningkatkan akses kawasan luar bandar serta pendigitalan sistem penjejakan dan pelesenan vesel untuk meningkatkan ketelusan dan keselamatan operasi,” katanya.

Tegasnya, keseluruhan usaha itu akan membentuk rangkaian pengangkutan sungai yang lebih tersambung, berdaya saing dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim, sekali gus menyokong aspirasi pembangunan negeri sambil memelihara nilai ekologi dan budaya sungai.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi