ARTIKEL

Tun Dr Wan Junaidi menyempurnakan Istiadat Konvokesyen IKMAS Kali Ke-22 Tahun 2026 di Kuching, hari ini.

Graduan IKMAS perlu tampil sebagai Duta Rahmah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Graduan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) perlu tampil sebagai Duta Rahmah yang mampu mengimbangi kemajuan teknologi dan pembangunan material dengan pengukuhan nilai rohani, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, pembangunan Sarawak yang pesat dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui memerlukan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi turut berpaksikan nilai, etika dan akhlak.

Katanya, kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama di Sarawak turut menuntut pendekatan dakwah serta pengurusan ummah yang bijaksana, inklusif dan harmoni.

“Jangan sesekali membawa naratif yang ekstrem, rigid atau memecah-belahkan. Kepelbagaian ini bukan kelemahan atau punca perpecahan, sebaliknya kekuatan yang perlu dipelihara di bawah konsep Sarawak Darul Hana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Istiadat Konvokesyen IKMAS Kali Ke-22 Tahun 2026 di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pembangunan material tanpa pembangunan rohani hanya akan melahirkan masyarakat yang tempang, justeru graduan IKMAS perlu memainkan peranan membina infrastruktur insani seiring pembangunan fizikal negeri.

Katanya, graduan IKMAS juga perlu menguasai kemahiran digital dan menjadikannya medium dakwah yang efektif, kreatif serta dinamik, khususnya dalam era teknologi digital dan AI.

Beliau turut menyarankan graduan menggunakan platform digital untuk menyebarkan risalah Islam, selain menghasilkan kandungan bermutu yang mampu menjawab persoalan semasa, khususnya dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, graduan juga perlu menghubungkan ilmu fardu ain dengan keperluan fardu kifayah bagi menangani cabaran moden seperti perubahan iklim, kelestarian alam sekitar dan bioteknologi.

Katanya, penguasaan konsep Maqasid Syariah, khususnya Hifz al-Mal (menjaga harta) dan Hifz al-Biah (menjaga alam sekitar), penting bagi melahirkan pakar rujuk Islam yang mampu menyumbang kepada pembangunan semasa.

Wan Junaidi turut menegaskan, graduan IKMAS perlu menjadi ejen perubahan dengan membawa pendekatan wasatiyyah berasaskan fakta ilmiah, khususnya ketika berdepan dunia media sosial yang sarat dengan fitnah dan polemik melampau.

Beliau berkata, Sarawak kini bergerak ke arah menjadi wilayah maju menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030.

Agenda pembangunan negeri bukan hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi konvensional, tetapi turut merangkumi ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan teknologi solar, kelestarian alam sekitar, ekonomi digital serta AI.

“Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha memartabatkan pendidikan Islam dan institusi latihan kepakaran yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

“Saya berharap agar IKMAS terus memacu kecemerlangan, memperkasakan kurikulumnya agar sentiasa selari dengan perkembangan global dan menjalinkan lebih banyak kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau turut berharap IKMAS tidak hanya kekal sebagai pusat latihan peringkat negeri, sebaliknya berkembang menjadi hab rujukan kecemerlangan pengajian kemahiran Islam antarabangsa yang disegani di rantau Nusantara.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU