Graduan Politeknik laku di pasaran

KUCHING: Kadar kebolehpasaran graduan Politeknik Kuching meningkat sebanyak 97.6 peratus pada 2018 berbanding pada 2017 dan 2016 iaitu 97.2 peratus dan 92.1 peratus.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Shahabudin Omar berkata, industri sentiasa mengharap dan menjangkakan institusi pengajian tinggi berupaya menampung keperluan tenaga kerja berkelayakan dan berilmu, serta selaras dengan kriteria kerjaya atau tugas sedia ada.

Menurutnya, menepati keperluan bukan sahaja bererti memadankan jumlah bekalan dengan permintaan, tetapi kualiti dan keupayaan bakal-bakal tenaga pekerja tersebut, menepati apa yang diperlukan di dalam pasaran.

Jelasnya, graduan yang mengisi ruang pasaran kerja mesti terdiri daripada mereka yang bukan hanya berilmu, tetapi juga benar dan amanah serta mampu memikul tanggungjawab dengan integriti yang tinggi. 

Oleh itu, Shaharudin berkata, graduan diingatkan untuk terus memajukan diri walaupun sudah menerima diploma.

“Graduan mesti sanggup memperluaskan bidang ilmu dan kelayakan masing-masing supaya mempunyai kelebihan untuk bersaing.

“Mereka mesti sanggup menokok tambah diploma yang diperoleh dengan mendapatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang yang akan meningkatkan peluang kerjaya mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kuching Sarawak ke-27 sidang pertama, Dewan Jubli Perak semalam.

Shaharudin menambah, graduan dibekal ilmu pengetahuan dan keupaayaan relevan di pasaran, mereka akan diintegrasi dengan secepat mungkin dalam proses pembangunan negara.

Katanya lagi, mereka harus menyumbang tenaga kerja positif kepada syarikat dan agensi termasuk bukti bahawa graduan Politeknik Kuching Sarawak terbaik dari segi sahsiah dan keterampilan.

Beliau juga berkata, graduan harus sentiasa membuka minda, mencari peluang memajukan kerjaya dan keupayaan masing-masing ke peringkat lebih tinggi lagi.

Seramai 432 graduan Politeknik Kuching diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-27 sidak pertama di Dewan Jubli Perak semalam.