ARTIKEL

Sagah menyampaikan sijil kepada para graduan pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-Cats ke-26 di BCCK, semalam.

Graduan Sarawak Skills laris di pasaran kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dengan peningkatan kadar kebolehpasaran sebanyak 93 peratus selepas enam bulan bergraduasi, Sarawak Skills membuktikan keupayaannya dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing.

Pengerusi Sarawak Skills dan ProCanselor Kolej Universiti i-CATS, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, institusi ini amat bertuah kerana mendapat sokongan kuat daripada kerajaan negeri, persekutuan serta ahli-ahli industri.

Sejak penubuhannya, beliau berkata, Sarawak Skills kini mempunyai 81 ahli dari sektor kerajaan dan industri, 10 cawangan di seluruh Sarawak serta menawarkan 13 bidang kemahiran.

“Institusi ini juga telah melahirkan lebih daripada 77,000 alumni.

“Justeru, Sarawak Skills akan terus memperkukuh visinya sebagai TVET Trendsetter dalam membangunkan pendidikan kemahiran di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-Cats ke-26 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn di BCCK, semalam.

Jelas Abdul Aziz, Sarawak Skills kini telah menubuhkan institut Sarawak Skills di Sri Aman yang akan mula menerima pelajar dalam bidang elektrik dan peladangan pada Oktober 2024.

Selain itu, katanya, terdapat penubuhan kampus satelit di ADTEC Bintulu, hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang akan memperluaskan keupayaan latihan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas di Bintulu.

Abdul Aziz turut mengumumkan bahawa Sarawak Skills akan menganjurkan 4th BIMP-EAGA TVET Conference 2024 pada 11 dan 12 Disember ini.

Katanya, terdapat penyertaan negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Filipina, bertujuan berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam bidang TVET.

“Penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa seperti ini, membuktikan Sarawak Skills sangat serius dalam memberikan pendidikan TVET yang relevan kepada pelajar dengan memastikan kursus yang ditawarkan menepati kehendak industri masa kini,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan, seramai 982 graduan Sarawak Skills menerima pelbagai anugerah, termasuk Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan sijil dalam bidang kimpalan serta program modular.

Kolej Universiti i-CATS dan i-CATS Miri turut menyerahkan sijil kepada graduan dalam bidang kejuruteraan, perniagaan, agroteknologi, serta kejuruteraan elektrik dan elektronik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU