Graduasi secara janji temu

MUKAH: Bagi meraikan kejayaan 61 pelajar yang telah tamat pengajian, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah tampil mengadakan sesi graduasi secara janji temu berbeza seperti tahun-tahun sebelumnya berikutan Covid-19.

Meskipun diadakan secara tertutup iaitu hanya kepada graduan dan ibu bapa, majlis dua hari itu berjalan lancar dan dikendalikan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut Pengurus Pusat PPKS Mukah Abdul Hafidz Ali, pengamalan norma baharu perlu dilaksanakan dalam meraikan kejayaan pelajar yang selama ini telah menuntut di PPKS ini.

“Konsep janji temu ini kami terpaksa adakan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan setiap pelajar yang bergraduasi selamat.

“Ini bagi memberi peluang kepada pelajar menggunakan jubah serta merakam gambar kenangan bersama-sama keluarga mereka.

“Paling penting mereka juga berpeluang menerima skrol dan transkrip,” katanya kepada Suara Sarawak.

Abdul Hafidz mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar PPKS Mukah yang telah menamatkan pengajian dan terus berjaya terlibat sebagai pemain utama dalam pelbagai industri di Sarawak khasnya di Mukah.

“Saya ingin mempelawa semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk menyertai bidang kemahiran yang ada di PPKS ini terutama Program Pembuatan Pakaian Wanita dan program lain yang kita sediakan sehingga ke Tahap 3.

“Kemahiran ini bidang yang mendapat pasaran tinggi dan kita juga menawarkan program nilai tambah bagi memperkuatkan lagi potensi pelatih kemahiran di sini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, PPKS Mukah sentiasa terbuka untuk menerima pelajar baharu terutama pengambilan untuk Jun 2021 kini juga akan dibuka. “Kita akan ambil pelatih ini secara berperingkat-peringkat dan pengambilam ini akan dijalankan seperti biasa.

“Setiap pelajar ini kelak juga perlu mengikuti setiap kebiasaan baharu yang kita perkenalkan kelak,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak