KUCHING: Greenery Borneo Travel dan Tours Sdn Bhd bersedia memberikan komitmen terbaik bagi memastikan pelancong yang berkunjung ke Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) memperoleh pengalaman pelancongan yang luar biasa dan bermakna.
Pemilik syarikat berkenaan, Khairul Sapiee berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada kepuasan pengunjung dengan memperkasa pelancongan berasaskan komuniti (CBT), selaras dengan kecenderungan pelancong masa kini yang lebih menggemari pengalaman semula jadi dan autentik.
“Pada masa kini, pelancong lebih menggemari pengalaman asli seperti menetap di inap desa berkualiti yang disediakan oleh komuniti kampung.
“Permintaan ini menjadi antara keutamaan pengunjung yang melanggan perkhidmatan kami. Alhamdulillah, setakat ini kami berjaya meneruskan misi memastikan kepuasan mereka sepanjang percutian melalui pengisian aktiviti pelbagai seperti menuai padi, menghasilkan kraf tangan atau memasak makanan tradisional,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau pada masa sama mencadangkan agar VM2026 dapat diperkasakan menerusi pendekatan holistik dengan menggabungkan inovasi digital, kelestarian alam sekitar serta penglibatan aktif masyarakat setempat.
“Transformasi digital dan teknologi kini berada di hujung jari, dan kami percaya peranan platform digital menjadi kunci utama dalam memperkukuh sektor pelancongan.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar pihak berkaitan dapat membangunkan satu platform bersepadu yang menggabungkan tempahan pengangkutan, penginapan, tiket serta panduan aktiviti pelancongan di seluruh Malaysia,” ujarnya.



