Gua Prosih di Bau bakal jadi produk pelancongan baharu

BAU: Gua Prosih di Kampung Merembeh di sini bakal dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu.

ADUN Serembu Miro Simuh berkata gua berkenaan adalah salah satu penemuan baharu yang berpotensi menjadi tarikan pelancong kerana keunikannya.

“Saya bersama penduduk Kampung Merembeh telah meneroka Gua Prosih yang bukan calang-calang cantiknya dan juga pengembaraannya.

“Gua ini begitu unik kerana mempunyai ruang yang panjang dalam 300 meter ke dalam perut gunung, mempunyai aliran air bawah tanah yang panjang serta menjadi tempat burung walit bersarang,” katanya yang ditemu-bual, hari ini.

Justeru, beliau berkata akan membangunkan kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk membolehkan orang ramai datang dan meneroka sendiri bagi melihat keunikan di dalam gua berkenaan.

“Jalan masuk telah saya bina, cuma sekarang kami akan membina pusat pelawat, laluan ke lubang gua, pondok menunggu, tangga untuk turun ke gua dan kemudahan yang lain,” katanya.

Menurut Miro, selain Gua Prosih, terdapat satu lagi gua di kawasan berkenaan yang dinamakan Gua Kayu.

Beliau berkata kini merancang untuk meneroka gua berkenaan bagi melihat sendiri keindahannya.

Sehubungan itu, beliau berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah bersetuju untuk menamakan tempat terbabit sebagai Taman Gua Merembeh.

“Nantikan keunikan syurga alam ini dalam masa terdekat bila kami sudah menyediakan kemudahan untuk keselesaan pengunjung,” katanya.

Miro (depan, tengah) bersama penduduk Kampung Merembeh semasa meneroka Gua Prosih, semalam.
Pemandangan unik di dalam Gua Prosih, yang juga menjadi tempat burung walit bersarang berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan di DUN Serembu.

Suara Sarawak