Guan Eng sombong dan bongkak

BAU: Bongkak dan sombong – begitulah tanggapan Datuk Seri Micheal Manyin terhadap Menteri Kewangan Lee Guan Eng.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu membidas kenyataan Guan Eng yang meramalkan negeri ini bakal muflis tiga tahun akan datang di bawah pentadbiran GPS.

“Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sepatutnya menyokong pembangunan dilakukan Kerajaan Sarawak, sebab jika Sarawak membangun… Malaysia juga membangun,” ujarnya.

Menganggap Guan Eng ada agenda peribadi Manyin menjelaskan, tindakan Setiausaha Agung DAP itu sangat tidak sopan.

“Guan Eng banyak provokasi, ada permainan politik peribadi, penuh kontroversi,” katanya selepas Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Daerah Bau malam semalam.

“Apabila Guan Eng mengeluarkan kenyataan sedemikian, jelas dia tidak menyokong pembangunan Sarawak khususnya kawasan pedalaman,” katanya.

Manyin juga Naib Presiden PBB menambah, kenyataan terbuka dan berani Guan Eng itu bakal memberi impak kepada ekonomi Sarawak.

“Kenyataan yang tidak munasabah Guan Eng mencetus pandangan tidak baik terhadap ekonomi Sarawak. Mana dia dapat idea Sarawak akan muflis?,”soalnya.

Oleh itu kata Manyin, Guan Eng sepatutnya fokus kepada janji dibuat Kerajaan PH.

“Guan Eng seharusnya memberi fokus kepada janji PH yang belum tertunai untuk Sarawak seperti cukai dan royalti minyak.

“Siapa dia mengatakan ahli keluarga saya (GPS) seperti itu?,” tempelaknya.

Dalam satu majlis anjuran DAP Sarawak pada 21Jun lalu, Guan Eng mempertikai cara belanjawan Sarawak yang menggunakan RM11 bilion sedangkan rizab simpanan adalah RM30 bilion.

“Jika perkara ini berterusan, tidak mustahil Sarwak akan muflis seperti Kelantan, menagih duit daripada Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji penjawat awam negeri,” kata Guan Eng.

Suara Sarawak