Guna 3,000 biji kelapa sehari

KUCHING: Meskipun wujud santan segera di pasaran, namun santan kelapa segar tetap menjadi pilihan orang ramai kerana rasanya lebih enak, lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengusaha santan segar Mohd Nasir Abdullah, 47, berkata, dia terpaksa menambah bekalan kelapa sehingga 3,000 biji setiap hari sepanjang Ramadan dan Aidilfitri bagi menampung permintaan tinggi.

Nasir yang mengusaha perniagaan santan di Medan Niaga Satok berkata, dia tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan kelapa kerana mempunyai pembekal tetap dari Kota Samarahan dan Asajaya.

“Permintaan terhadap santan kelapa segar dan kelapa parut ketika ini meningkat dua kali ganda berbanding hari-hari biasa.

“Sejak awal Ramadan, saya dibantu keluarga dan dua pekerja menggunakan lebih 2,000 biji kelapa pada hari biasa dan meningkat sehingga 3,000 biji pada hujung minggu,” katanya kepada Suara Sarawak di sini, semalam.

Menurut Mohd Nasir, pada hari biasa kebanyakan santan segar dijual di gerainya ditempah pelanggan tetap yang terdiri daripada suri rumah serta pengusaha kedai makan, ais krim dan kuih-muih.

“Namun, pada bulan Ramadan permintaan santan meningkat berikutan ramai ingin membuat kuih dan masakan untuk dijual di bazar Ramadan.

“Permintaan santan akan terus meningkat sehingga Syawal bagi tujuan memasak makanan untuk dihidang kepada tetamu pada Hari Raya nanti,” jelasnya.

Sementara isteri Mohd Nasir, Siti Khadijah Mohammad Taib 40 berkata, perbezaan santan segar dan segera ialah ia lebih pekat.

“Rasa santan daripada kelapa segar lebih enak dan segar berbanding santan segera.

“Antara faktor santan kelapa segar menjadi pilihan ialah menjadikan masakan dan kuih-muih lebih sedap,” jelasnya.

Menurut Siti Khadijah, santan segar dijual pada harga RM3 setengah kilogram.