ARTIKEL

Guna elektrik secara berhemah semasa musim panas ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengguna elektrik disarankan untuk memainkan peranan dengan menggunakan elektrik secara bertanggungjawab serta mengamalkan penjimatan tenaga susulan musim panas dan kering yang berpanjangan di Sarawak.

Sarawak Energy dalam satu kenyataan berkata, para pengguna hendaklah menggunakan elektrik secara berhemah kerana dengan keadaan tersebut dijangka berterusan dalam beberapa minggu akan datang.

“Cuaca yang lebih panas mungkin meningkatkan penggunaan elektrik menerusi penggunaan penghawa dingin dan peralatan penyejukan lain untuk tempoh yang lebih lama.

“Pada masa sama, keadaan kering yang berpanjangan boleh menjejaskan sumber air yang menyokong penjanaan tenaga hidro,” katanya, hari ini.

Beliau menambah, pengguna digalakkan untuk mengelakkan penggunaan elektrik yang tidak diperlukan, khususnya ketika tempoh permintaan elektrik berada pada tahap tinggi.

“Langkah mudah seperti menetapkan penghawa dingin pada suhu sekitar 24°C dan mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.

“Pengguna juga perlu mengelakkan penggunaan beberapa peralatan berkuasa tinggi secara serentak bagi membantu mengurangkan penggunaan elektrik,” katanya.

Beliau menambah, pengguna yang mempunyai meter pintar boleh menggunakan perkhidmatan digital Sarawak Energy melalui aplikasi mudah alih dan portal web SEB cares untuk memahami, memantau serta mengurus penggunaan elektrik dengan lebih baik.

“Aplikasi ini membolehkan pengguna menjejaki penggunaan elektrik mereka mengikut jam, harian dan bulanan bagi mengenal pasti peluang untuk menjimatkan tenaga serta mengurus kos,” katanya.

Mengulas lanjut, Sarawak Energy terus memantau keadaan cuaca, sumber air dan permintaan elektrik dengan teliti.

Selain, turut mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi menyokong kebolehpercayaan bekalan elektrik sepanjang tempoh ini.

Untuk sebarang pertanyaan atau mendapatkan bantuan, pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di 1300-88-3111, menghantar e-mel ke customercare@sarawakenergy.com, mengakses aplikasi mudah alih atau portal web SEB cares, atau berinteraksi dengan ejen maya CARINA.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU