Trending

Guna kemudahan Hub Inovasi Digital percuma

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar universiti untuk menggunakan kemudahan Hub Inovasi Digital (DIH) di seluruh Sarawak.

SMA dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini bagi membolehkan pelajar berkeperluan dapat mengakses Internet dengan lebih pantas dan dalam suasana kondusif untuk membuat tugasan masing-masing semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pusat DIH boleh diakses mulai 6 Julai sehingga satu tempoh diberitahu kelak berdasarkan konsep “siapa cepat dia dapat” dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tahap tinggi.

Oleh itu, pelajar universiti perlu menghubungi pengendali DIH di kawasan masing-masing.

DIH adalah salah satu Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018- 2022 yang dipelopori oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

DIH menyediakan ruangan untuk mengadakan acara, latihan dan membangunkan idea.

Setakat ini, terdapat lima DIH di seluruh Sarawak iaitu dua di Kuching dan masing-masing satu di Sarikei, Bintulu dan Miri.

Beberapa DIH di bahagian lain kini di bawah pembinaan yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2021.

Kemudahan yang ada di DIH ialah capaian Internet pantas, suasana kondusif dan tempat rehat.

Pengurus Besar SMA Dr. Zaidi Razak berkata, para graduan adalah masa depan Sarawak, justeru amat penting untuk mereka mempunyai kemudahan belajar.

“Sejak ditubuhkan, SMA mengembangkan Ekosistem Perkampungan Digital Sarawak (SDVE) yang merangkumi program latihan dan rangkaian rakan kongsi di seluruh Sarawak seperti TEGAS, SMG, dan iCube.

“Oleh itu, kita berharap inisiatif tanggungjawab sosial korporat berkenaan dapat memberi manfaat kepada pelajar universiti dalam tempoh mencabar ini,” ujarnya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru