ARTIKEL

Guna sagu hasilkan fabrik batik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MAKANAN berasaskan sagu mentah atau yang dibuat tepung sudah tidak asing bagi penduduk di Mukah, tidak kira sama ada ia untuk hidangan makanan berlauk ataupun kuih-muih termasuk pelbagai masakan turut diasaskan menggunakan sagu.

Sagu atau linut yang menjadi makanan kegemaran etnik Melanau juga boleh digunakan sebagai inovasi terbaharu dalam menghasilkan fabrik batik yang unik sekali gus mempromosikan produk Sarawak ke pentas antarabangsa.

Menurut Pengarah Urusan Lamin Dana Sdn Bhd dan Batik Linut Sdn Bhd Diana Rose, 58, produk itu merupakan satu usaha inovasi dan tidak boleh dibandingkan dengan batik tradisional di negeri-negeri lain.

Katanya, keunikan batik keluaran syarikatnya ialah pada linut, iaitu sagu dihasilkan daripada pohon rumbia yang merupakan tanaman dan produk industri yang sinonim dengan Mukah dan suku kaum Melanau.

“Linut bertindak sebagai bahan menggantikan lilin, yang bertindak menghalang air atau bahan pewarna menembusi kain kerana sifatnya yang likat dan kalis air.

“Pada masa yang sama, kain yang direndam dalam larutan linut dan pewarna ini dapat menghasilkan corak dan warna yang lebih menarik,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui di Hari Terbuka Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta Institut Kajian Borneo (IBS) di sini.

Sementara itu Diana memberitahu Sarawak adalah pengeksport utama sagu dunia dan kaum Melanau pula adalah kumpulan suku kaum yang amat sinonim dengan tradisi dan warisan sagu selama berabad-abad di negeri ini. 

“Pada 2019, sagu diberi perspektif baharu. Daripada sekadar komoditi eksport dan makanan, produk sagu linut telah dinaikkan daripada sebagai produk makanan kepada ciptaan untuk tekstil.

“Di kediaman sederhana di Lamin Dana Cultural Lodge Mukah, tepung sagu, warnawarna, ditambah kreativiti dan eksperimen yang dilakukan berkali-kali, maka akhirnya, kami berjaya melahirkan produk menarik baharu yang dikenali sebagai Tekstil Batik Linut Textiles.

“Produk ini pula telah dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Miri pada 24 November 2021,” jelas Diana sambil menambah pelbagai rekaan dihasilkan seperti dress, tudung, selendang, kurta, baju t-shirt batik lelaki, kain untuk menghasilkan baju kurung termasuk rekaan terbaharu iaitu kimono kardigan.

Mengulas lanjut, Diana berkata rekaan tekstil yang dihasilkan berkonsepkan persekitaran di Sarawak termasuk peralatan sinonim dengan etnik di negeri ini misalnya terendak yang merupakan topi tradisi kaum Melanau.

Katanya, pihaknya turut menghasilkan corak rekaan Orang Ulu dan kaum-kaum lain di Sarawak di samping kesemua rekaan produk dijual anggaran harga RM60 sehingga lebih RM1,000 berdasarkan tekstil yang dihasilkan.

“Dalam perancangan pula, kita akan mewujudkan ibu pejabat syarikat kita kedua di Kuching pada Ogos nanti selain kita bakal mengadakan bengkel kemahiran batik linut kepada mereka yang berminat.

“Bengkel tersebut akan diadakan pada Ogos 2023 di Cococabana di Miri dan dijangka akan diadakan selama dua hari kelak.

“Malah kita juga akan membuka gerai jualan semasa Festival Musik Hutan Hujan Sedunia 2023 (RWMF23) dan berharap agar produk ini nanti dapat menembusi pasaran lebih tinggi dalam usaha mempromosikan Sarawak ke persada antarabangsa,” ujarnya sambil menambah ibu pejabat syarikat mereka kini bertapak di Miri.

BERITA LAIN

Mangsa tanah runtuh terima bantuan

REPOK: Mangsa-mangsa tanah runtuh di Rumah Jupong dan Rumah Augustine di sini menerima bantuan dan sumbangan khas daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,

Kunjungan rumah terbuka tradisi masyarakat Sarawak

MARUDI: Kunjungan rumah terbuka merupakan tradisi masyarakat tanpa mengira kaum di Sarawak. Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata,

BERITA TERBARU