ARTIKEL

TikTok, Facebook, Melayu dialek Sarawak, Awla Idris, PERKAJAS, Simunjan
Barisan penggiat seni muzik lagu Melayu Sarawak merakam kenangan bersama Awla (tengah).

Guna TikTok, Facebook, perluas lagu Melayu Dialek Sarawak di persada dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penggiat seni muzik Melayu Sarawak digalakkan untuk menggunakan platform media sosial bagi mempromosikan hasil lagu ciptaan mereka agar dapat didengari oleh bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga warga dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan merangkap Penaung Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS), Awla Idris, berkata, peranan besar media sosial seperti ‘TikTok’ dan ‘Facebook’ pada masa kini boleh dijadikan sebagai platform penting untuk mengetengahkan industri lagu Melayu dialek Sarawak.

“Tak kenal maka tak cinta, tak kenal lagu tak kenal kita.

“Jadi saya harap lagu-lagu Melayu Sarawak hasil ciptaan penggiat seni dapat diketengahkan di platform media supaya orang dapat melihat lagu itu dimainkan.

“Sekiranya ramai orang membukanya (lagu), saya percaya ia akan membuat mereka jatuh cinta kepada dialek lagu Sarawak.

“Sekarang zaman TikTok dan Facebook, jika dapat keluarkan (lagu) dalam kedua-duanya agar orang lain dapat melihat lagu itu dimainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Persembahan Showcase Lagu Melayu Sarawak, Menampilkan Artis-Artis Tempatan Lagu Melayu Sarawak, di Nek Go’s Place Gita Kuching di sini, pada Sabtu.

Beliau pada masa sama memuji usaha PERKAJAS dalam memperkasakan kegiatan muzik Melayu Sarawak menerusi penganjuran beberapa pertandingan.

Katanya, usaha itu sekali gus menjadi platform penting buat para penggiat seni yang bergiat aktif mengangkat seni muzik Melayu Sarawak, terutamanya di kawasan Kuching dan seluruh Sarawak.

Justeru, beliau menegaskan akan terus menyokong usaha tersebut bagi memastikan karya-karya lagu berteraskan identiti dan berwajah Sarawak turut wujud di persada antarabangsa.

“Ia (lagu Melayu Sarawak) bukan sahaja perlu diketengahkan di Sarawak tetapi ke peringkat global seperti popularnya lagu etnik Iban, Sabah, Kelantan dan luar negara seperti Hindustan, Korea dan lain-lain.

“Walau bahasa tidak difahami namun melalui muzik saya percaya seluruh masyarakat dunia boleh menerimanya,” ujarnya.

Pertunjukan ini merupakan anjuran pihak PERKAJAS dengan kerjasama Persatuan Lubuk Seni dan Warisan Simunjan (PERLUWAS), Persatuan Orkestra Tradisional (POTRES), Star Audio One Company, dan Nek Go’s Place.

Objektifnya ialah untuk mengetengahkan lagu Melayu Sarawak melalui satu program pertunjukan di samping meningkatkan populariti lagu Melayu Sarawak agar lebih dikenali oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU