KUCHING: Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang Lawas, Muhammad Nazmi Rosli dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2023, dalam Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di Sime Darby Convention, Kuala Lumpur.
Beliau membawa pulang hadiah utama wang tunai berjumlah RM50,000, berserta trofi daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Pengiktirafan diberikan kepada Muhammad Nazmi datang atas usaha gigihnya dalam mendidik murid-murid di sekolah.
Beliau menggunakan kaedah kreatif dengan mengadakan latihan simulasi bilik darjah, memperkenalkan anak murid kepada pengalaman kehidupan seharian seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan hanya menggunakan bahan kitar semula.
Selain menjadi guru Bahasa Inggeris yang berdedikasi, Muhammad Nazmi memulakan Kelab Filpen (filem pendek) di sekolahnya.
Beliau memberi peluang kepada murid-muridnya untuk mengekspresikan diri melalui pembikinan filem pendek.
Salah satu kejayaan terbesarnya adalah filem ‘Teether’ yang diterima dengan baik di Festival Filem Horror Unleashed di Portugal.
Kejayaan Nazmi Rosli mencerminkan dedikasi dan usaha dalam meningkatkan pendidikan di Malaysia.
Beliau adalah contoh yang cemerlang dalam dunia pendidikan dan layak menerima pengiktirafan tersebut.
Fadhlina dalam catatan Facebooknya semalam mengucapkan tahniah kepada Nazmi atas anugerah yang diterimanya.
Beliau berharap anugerah diterima Nazmi dapat memberikan inspirasi kepada guru lain untuk terus kreatif dan inovatif dalam pengajaran serta pembelajaran.
Pada tahun 2019, Nazmi pernah dinobatkan sebagai pemenang pertama Kempen Guru Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).






