ARTIKEL

BERCAKAP... Ketua Penerbitan, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kampus MOONTON Games, Jeffery Chan ketika ditemui Suara Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-10 MLBB di pusat beli-belah Vivacity.

Guru Juara Moonton berpotensi diperluas ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Guru Juara Moonton yang diperkenalkan di Selangor berpotensi diperluas ke negeri ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.

Ketua Penerbitan, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kampus MOONTON Games, Jeffery Chan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal berhubung kemungkinan kerjasama berkenaan, namun ia masih pada peringkat permulaan dan belum boleh diperincikan.

“Setakat ini, maklum balas terhadap inisiatif berkenaan agak menggalakkan susulan keterbukaan dan keterujaan pihak JPN terhadap potensi kerjasama berkenaan.

“Kami berharap dapat membawa program yang serupa ke sini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di pusat beli-belah Vivacity, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, katanya, pendekatan itu akan dimulakan dengan meningkatkan pemahaman guru terhadap permainan digital dan minat pelajar terhadap e-sukan.

“Inisiatif itu merupakan antara usaha untuk menjadikan permainan digital sebagai sebahagian daripada budaya positif dalam kalangan generasi muda, di samping membantu guru memahami minat serta tingkah laku pelajar melalui permainan seperti MLBB,” katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan program itu bukan sekadar memberi ruang kepada pelajar untuk menyertai pertandingan e-sukan, malah membantu guru memahami industri permainan digital dan memanfaatkan minat pelajar untuk mendorong perkembangan positif mereka.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa aspek akademik kekal menjadi keutamaan, dengan guru perlu memastikan pelajar mencapai prestasi akademik yang baik sebelum menyertai pertandingan.

Beliau menyamakan pendekatan itu dengan kaedah tradisional, iaitu guru menggalakkan pelajar belajar bersungguh-sungguh, hadir ke sekolah dan mematuhi peraturan sebelum diberikan peluang menyertai aktiviti sukan.

“Dalam konteks itu, pelajar perlu menunjukkan sikap yang baik, tidak ponteng sekolah dan dapat keputusan yang baik dalam ujian sebelum diberi peluang menyertai inisiatif tersebut,” katanya.

Dari segi pelaksanaan, dedahnya, program itu menunjukkan perkembangan positif di Kuala Lumpur dan Selangor dengan lebih 300 sekolah dilaporkan sudah terlibat.

Dalam pada itu, Chan memberitahu, MOONTON Games tidak menyediakan peranti kepada pelajar kerana tumpuan utama program itu adalah untuk memperkasa para guru.

“Sebaliknya, sokongan diberikan melalui pendedahan kepada industri permainan digital, pemahaman terhadap permainan dan pelajar, serta panduan untuk membantu guru menganjurkan pertandingan di sekolah.

“Selain itu, MOONTON Games turut menyediakan kumpulan sokongan bagi membimbing guru tentang pendekatan yang boleh digunakan untuk membantu pelajar memahami permainan dengan lebih baik, termasuk menjadikan pencapaian akademik dan disiplin sebagai dorongan sebelum menyertai e-sukan,” ujarnya.

Menerusi pendekatan itu, katanya, potensi kerjasama dengan JPN Sarawak boleh membuka ruang untuk meneroka pelaksanaan program seumpamanya di sekolah di negeri ini, tertakluk kepada perkembangan perbincangan awal antara pihak terlibat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU