MUKAH: Inovasi pendidikan berasaskan teknologi ‘Augmented Reality’ (AR) yang dibangunkan oleh seorang guru dari Mukah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih empat pengiktirafan berprestij pada Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2026 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Inovasi tersebut dihasilkan oleh Stanzey Soojin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak, Mukah, sekali gus menyerlah dalam persaingan yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai negara serta institusi pendidikan antarabangsa.
Inovasi berkenaan merangkul Anugerah Platinum, Anugerah Kelestarian Terbaik (Best Sustainability Award), BIICC Excellence Award dan Anugerah Emas.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan inovasi berkenaan dalam kelompok 10 projek terbaik keseluruhan pertandingan menerusi pengiktirafan Anugerah Platinum yang diberikan kepada projek berimpak tinggi dan berpotensi besar.
Inovasi tersebut dibangunkan bagi membantu murid memahami konsep sains yang bersifat abstrak melalui penggunaan teknologi AR yang menggabungkan elemen visual interaktif dan pembelajaran digital secara lebih menarik serta berkesan.
Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), malah mampu meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Anugerah tersebut pula diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan inovasi berkenaan dalam menyokong matlamat pendidikan berkualiti dan pembangunan pendidikan lestari.
Selain itu, pencapaian tersebut memperlihatkan bahawa kreativiti, komitmen dan usaha berterusan dalam bidang inovasi mampu melahirkan produk pendidikan yang memberi impak positif kepada perkembangan pembelajaran murid.
Penyertaan dan kejayaan yang diraih di BIICC 2026 turut menjadi bukti bahawa sektor pendidikan negara terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi global.
Kejayaan itu bukan sahaja mengangkat nama SK Kampung Petanak dan Mukah, malah turut memperkukuh reputasi Sarawak sebagai antara negeri yang aktif dalam pembangunan inovasi pendidikan.



