KUCHING: Seorang guru pusat pemulihan dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan bon berkelakuan baik serta menjalani perintah khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana menyebabkan kecederaan seorang kanak-kanak perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia lima tahun.
Ya’ani, 51, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, kerana mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan OKU autistik berusia lima tahun tujuh bulan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat pemulihan di Batu 8, di sini, sekitar jam 8.30 pagi, 26 Mei 2025.
Musli menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan terhadap tertuduh.
Selain itu, dia juga diperintahkan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM2,000 beserta seorang penjamin.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat dengan agregat 100 jam selama tempoh enam bulan.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan ibu mangsa menyedari terdapat kesan merah pada leher anak perempuannya dan terdapat lebam lain pada badan semasa hendak memandikan mangsa.
Dia kemudian menghubungi salah seorang guru untuk bertanyakan punca kecederaan tersebut.
Tertuduh mengaku melakukan kecuaian ketika memberus badan mangsa semasa memandikan menggunakan air ais.
Tertuduh juga berjanji akan membayar kos rawatan mangsa dan tidak melaporkan kepada pihak polis.
Pengadu meminta rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) daripada pihak berkaitan namun tidak diberikan dengan alasan bukan bidang kuasa mereka.
Selain itu, mangsa telah dibawa oleh ibunya ke hospital untuk menerima rawatan.
Laporan polis dibuat ke atas tertuduh seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 29 Mei 2025.
Tertuduh hadir ke mahkamah diwakili Peguam Gerald Empaling Donald dan Steven Beti.



