SRI AMAN: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bertindak sebagai keldai akaun bagi sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis pada Januari lalu.
Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin turut memerintahkan tertuduh, Alistair, 22, yang berasal dari Stampin, Kuching itu supaya menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424C Kanun Keseksaan kerana terlibat secara tidak langsung dalam transaksi kemasukan wang berjumlah lebih RM8,000 ke dalam akaun bank miliknya yang diperoleh daripada seorang mangsa lelaki berusia 54 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di sini sekitar jam 6.53 petang pada 13 Januari lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bertugas sebagai guru menerima panggilan kononnya daripada pihak Touch ‘n Go (TnG) pada 11 Januari lalu mendakwa terdapat individu cuba memindahkan dana sebanyak RM13,700 namun dinafikan oleh mangsa.
Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat laporan penafian kepada pihak polis sebelum menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai Inspektor Hajar yang mendakwa sebagai pegawai polis dari Pulau Pinang.
Talian tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai Datuk Salawati dengan alasan untuk memberi arahan mengenai prosedur pembersihan nama selain meminta nombor pin kad ATM akaun CIMB Bank dan Bank Rakyat milik mangsa.
Pada hari yang sama, mangsa dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai ACP Ruslan daripada bahagian AMLA yang mengarahkan mangsa menyerahkan kad debit kepada individu tidak dikenali dengan alasan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Mangsa menyerahkan kad ATM tersebut kepada seorang lelaki bertopeng di sebuah kawasan tempat lapor kereta sekitar jam 6.20 petang bagi tujuan kononnya untuk memastikan akaun tersebut tidak terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada 19 Januari lalu selepas mendapati sejumlah wang telah dikeluarkan daripada akaun banknya tanpa pengetahuan sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM117,000.
Laporan polis yang dibuat mangsa kemudiannya membawa kepada penangkapan tertuduh yang mana hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku telah menyerahkan butiran peribadi serta kad debit miliknya kepada pihak lain untuk aktiviti penipuan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Farah Ain Hazeline Abdullah manakala siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Sarjan Lim Hock Liong.

