BAU: Hasrat seorang guru untuk memiliki pakaian denim edisi terhad berakhir dengan kerugian RM1,340 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian menerusi platform Instagram, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa, lelaki berusia 41 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Bau pada 6.48 petang semalam berhubung kejadian tersebut.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Haide berkata, kejadian bermula kira-kira 4.24 pagi pada 1 Mac ketika mangsa melayari Instagram sebelum tertarik dengan satu akaun dikenali sebagai “Preloved And Bundle Original” yang menawarkan seluar jeans dan jaket denim edisi terhad pada harga menarik.
Mangsa kemudian bersetuju membeli sehelai seluar jean berharga RM340 dan sebuah jaket denim bernilai RM300.
“Pada hari yang sama, mangsa melakukan dua transaksi pembayaran berjumlah RM640 ke sebuah akaun Alliance Bank yang diberikan suspek melalui nombor telefon 010-7113093.
“Keesokan harinya, mangsa menerima mesej melalui WhatsApp memaklumkan barangan dihantar dan memerlukan bayaran tambahan RM200 bagi kos penghantaran serta RM500 untuk tujuan pelepasan kastam.
“Tanpa mengesyaki sebarang penipuan, mangsa membuat dua lagi transaksi ke akaun bank yang sama,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, suspek kemudiannya meminta bayaran tambahan RM1,000 dengan alasan proses pelepasan kastam tidak dapat dilakukan sekiranya bayaran tersebut tidak dijelaskan.
Berasa curiga, Mohd Haide berkata, mangsa enggan membuat sebarang pembayaran lanjut sebelum tampil membuat laporan polis.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM1,340.
“Semakan awal mendapati akaun bank dan nombor telefon yang digunakan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kes penipuan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu terlibat.
“Mangsa turut menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 pada hari yang sama untuk membuat aduan dan mendapatkan bantuan segera.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika membuat pembelian dalam talian serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah,” katanya.

