KUCHING: Usaha memperkukuh minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus diperkasa apabila guru Sains dan Matematik daripada 16 sekolah rendah sekitar Kuching diberi pendedahan menerusi Bengkel Latihan Jurulatih STEM Gamifikasi.
Bengkel anjuran Light House of Hope (Sarawak) Berhad itu berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 Ogos lalu di STEM Hub, SMK Tabuan Jaya, dengan menghimpunkan guru yang dipilih untuk menjadi jurulatih STEM di sekolah masing-masing.
Program berkenaan dikendalikan oleh Dr Eng Guan Such dan Dr Hwa Tee Yong yang memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kaedah penggunaan permainan sebagai medium pembelajaran STEM yang lebih interaktif, menyeronokkan dan mencabar.
Sebanyak 16 sekolah rendah terpilih menyertai inisiatif berkenaan, melibatkan SK Bako, SK Bandar Samariang, SK Buntal, SK Encik Buyong, SK Goebilt, SK Kampung Senari, SK Muara Tebas, SK Pajar Sejingkat, SK Pasir Pandak, SK Rakyat Tupong, SK Rampangi, SK RPR Jalan Astana, SK Salak, SK Santubong, SK St. Andrew dan SK Sungai Stutong.

Pemilihan guru Sains dan Matematik daripada sekolah berkenaan dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan ilmu serta kemahiran yang diperoleh sepanjang bengkel dapat diperluaskan kepada lebih ramai murid di peringkat sekolah.
Antara permainan STEM yang diperkenalkan termasuk INO, Animal Detective Bang Bang dan Power Game, selain beberapa permainan lain yang menekankan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, penyelesaian masalah, komunikasi serta kerja berpasukan.
Permainan berkenaan bukan sekadar aktiviti sepanjang bengkel, malah akan dibawa ke sekolah untuk memberi peluang kepada murid menyertai pertandingan STEM Gamifikasi.
Pertandingan akan dimulakan di peringkat sekolah sebelum peserta terbaik berpeluang mara ke peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan seterusnya bersaing di peringkat negeri.
Pendekatan berasaskan permainan itu dijangka dapat mengubah persepsi murid terhadap STEM daripada bidang yang dianggap sukar kepada satu pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan dekat dengan kehidupan mereka.
Melalui aktiviti permainan, murid bukan sahaja dituntut memahami konsep Sains dan Matematik, malah perlu menggunakan strategi, membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta bekerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat.
Inisiatif itu juga dilihat mampu memberi ruang kepada guru untuk meneroka pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, sekali gus menjadikan bilik darjah sebagai ruang pembelajaran yang lebih aktif dan berpusatkan murid.
Dalam usaha menjayakan program berkenaan, Light House of Hope (Sarawak) Berhad turut mendapat sokongan Sarawak Energy dan Public Bank sebagai penaja program.

Kerjasama antara pihak penganjur, institusi pendidikan dan sektor korporat itu memperlihatkan komitmen bersama dalam memperluas akses kepada pendidikan STEM yang berkualiti, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.
Lebih penting, usaha tersebut bukan sekadar melahirkan murid yang mampu menguasai ilmu STEM, tetapi turut membentuk kemahiran insaniah seperti kreativiti, daya fikir, komunikasi dan kebolehan menyelesaikan masalah yang amat diperlukan dalam dunia masa hadapan.
Dengan guru yang telah dilatih sebagai jurulatih STEM di sekolah masing-masing, program ini diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak aktiviti gamifikasi dan inovasi STEM di sekolah-sekolah terlibat.
Usaha berterusan seperti ini diyakini mampu menyemai minat STEM sejak usia muda, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi Sarawak yang lebih kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.




