KUCHING: Penglibatan penjawat awam dan warga pendidik dalam serbuan Ops Songsang di Chow Kit baru-baru ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesan sosial dan keluarga yang ditinggalkan untuk kes berskala sedemikian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya tidak menerima butiran peribadi mereka yang ditahan, yang menyukarkan usaha menghubungi terus keluarga terjejas.
Ujarnya, kejadian tersebut memberi impak besar melebihi individu terbabit.
“Ini bukan hanya hal peribadi, ia memberi implikasi lebih luas kepada sosial, moral dan kesihatan awam,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai serbuan tersebut dalam Program Asas Kepimpinan Lestari Usahawati (ESG) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau turut melahirkan kebimbangan kerana kehadiran guru dalam kalangan tersebut semasa serbuan.
“Apabila saya melihat terdapat guru yang terlibat, saya tertanya-tanya bagaimana mereka akan mengajar kanak-kanak. Jumlah yang terlibat amat membimbangkan,” katanya lagi.
Nancy memberitahu, sokongan khidmat kaunseling masih tersedia untuk sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan bantuan dan kementerian akan melindungi identiti mereka yang tampil ke hadapan.
Jelasnya, terdapat individu telah tampil secara peribadi kepada kementerian dan membawa pasangan mereka ketika cuba memperbaiki hubungan.
“Keputusan selalunya bergantung kepada individu sama ada bersedia menerima bimbingan.
“Jika mereka datang kepada kami untuk meminta bantuan, kami boleh membantu tetapi kadang-kadang mereka tidak mahu dibantu.
“Terdapat juga individu yang memohon bantuan secara senyap dan bergantung kepada budi bicara kementerian apabila menangani hal-hal sensitif keluarga. Kita akan membantu mana-mana yang boleh,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada 28 November lalu, 17 penjawat awam adalah antara 208 individu yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, yang dipercayai digunakan untuk aktiviti seks luar tabii.
Dalam operasi tersebut, pihak polis merampas kondom dan beberapa barangan lain yang disyaki digunakan untuk tujuan tidak bermoral.

