ARTIKEL

Muhammad Yakup menunjukkan risalah BiSA 2026.

H: BDA perkenal Anugerah Kelestarian Bintulu (BiSA) 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU : Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memperkenalkan Anugerah Kelestarian Bintulu (BiSA) 2026 sebagai usaha mengiktiraf organisasi dan individu yang komited terhadap pembangunan mampan serta kelestarian alam sekitar di Bahagian Bintulu.

Pengurus Besar BDA Datuk Muhammad Yakup Kari berkata,  BiSA bertujuan menyediakan platform perkongsian amalan terbaik dan inovasi dalam pengurusan alam sekitar  selaras dengan aspirasi Pelan Strategik BDA 2024–2030 serta agenda Bintulu sebagai Hub Perindustrian Karbon Rendah   menjelang 2030.

“Pembangunan pesat di Bintulu perlu diimbangi dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

” Agenda kelestarian bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan kerajaan, industri, institusi pendidikan, komuniti dan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang BiSA 2026 di Wisma Bintulu pada Isnin.

Menurut Muhammad Yakup, BiSA 2026 dijalankan dengan kerjasama strategik Jabatan Alam Sekitar (DOE), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu.

Program ini menampilkan enam kategori utama iaitu perusahaan kecil sederhana dan besar, sektor perkhidmatan, institusi Pendidikan ( pra sekolah, sekolah rendah dan menengah serta Institusi Pendidikan Tinggi), agensi kerajaan, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan( NGO) serta individu.

Beliau yakin  kategori-kategori ini dijangka mendorong lebih banyak organisasi dan individu berkongsi inisiatif kelestarian mereka, sekaligus memberi inspirasi kepada pihak lain untuk turut serta dalam pembangunan mampan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa BiSA 2026 atas peranan penting mereka memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai objektif.

“Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, BiSA berpotensi menjadi pengiktirafan kelestarian yang signifikan bukan sahaja di Bintulu, tetapi juga di seluruh Sarawak. 

“Saya berharap BiSA 2026 akan menjadi pemangkin memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan masyarakat serta menyokong transformasi Bintulu sebagai Hub Perindustrian Karbon Rendah katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU