SARIKEI: Penyediaan kiosk di Taman Selera Taman Susur Jambu di sini, diibaratkan sebagai ‘nafas baharu’ buat peniaga.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Misiah Abu Seman berkata, kiosk yang disediakan oleh kerajaan itu bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada peniaga untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Malah ujarnya, ia bukan saja menarik minat pengunjung tetapi juga sebagai penyuntik semangat usahawan supaya lebih tekun berusaha meningkatkan ekonomi masing-masing.
“Harapan saya kemudahan ini dapat memberi manfaat kepada peniaga kecil di kawasan ini.

“Ia merupakan salah satu pendekatan kita untuk membantu mereka, ” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata, kiosk itu juga menyediakan pelbagai kelengkapan yang sesuai malah, barangan keperluan berniaga boleh diletak dan disimpan di tempat yang lebih selamat.
Kesemua 20 kiosk itu katanya, adalah peruntukan daripada BP1 yang setiap satunya bernilai RM15,000.
“Kadar sewa yang ditetapkan hanya RM50 setiap bulan.
Kita berusaha membantu peniaga menjana ekonomi untuk menyara keluarga.
“Dengan adanya kiosk tersebut pemandangan di lokasi tumpuan awam ini kelihatan lebiu teratur dan saya beharap lebih ramai pengunjung akan datang tempat tersebut,” katanya.

