ARTIKEL

Kredit: Bernama

Haba lautan dunia cecah rekod tertinggi pada 2025 – Analisis Saintis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIJING: Kandungan haba lautan dunia sehingga kedalaman 2,000 meter mencapai rekod baharu pada 2025, iaitu tahap tertinggi sejak pengukuran dimulakan dan merupakan tahun kesembilan berturut-turut berlakunya pemanasan, menurut analisis oleh sekumpulan saintis antarabangsa.

Kajian yang diterbitkan pada Jumaat mendapati yang tenaga terma meningkat sebanyak 23 kuadrilion megajoule pada 2025 berbanding tahun 2024, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Pasukan yang diketuai oleh Lijing Cheng dari Akademi Sains China di Beijing menerbitkan penemuan penyelidikan mereka dengan data sejak 1958 dalam jurnal “Advances in Atmospheric Sciences.”

Dari segi purata suhu permukaan laut global, 2025 menjadi tahun ketiga paling panas selepas 2024 dan 2023.

Penyelidik menjelaskan perbezaan antara suhu kedalaman dan suhu permukaan dengan menyatakan bahawa fenomena iklim El Nino di Lautan Pasifik lemah dengan ketara sepanjang tahun lalu.

Fasa El Nino biasanya dikaitkan dengan suhu global yang lebih tinggi di permukaan laut.

Apabila mempertimbangkan kandungan haba, suhu di lapisan lautan yang lebih dalam turut diambil kira.

Oleh itu, peningkatan kandungan haba secara relatifnya kurang dipengaruhi oleh fenomena iklim permukaan dan dianggap sebagai petunjuk yang lebih penting bagi pemanasan planet.

“Lautan menyerap lebih daripada 90 peratus haba berlebihan yang terperangkap oleh gas rumah hijau, menjadikannya takungan haba utama sistem iklim.

Oleh kerana kandungan haba lautan (OHC) mencerminkan pengumpulan haba yang tersimpan di dalam lautan, ia memberikan antara petunjuk terbaik bagi perubahan iklim jangka panjang,” menurut pengarang kajian itu. — Bernama

BERITA LAIN

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan