ARTIKEL

Dr Lee Kuok Tiung

Had tempoh PM perlu dilindungi daripada pindaan masa depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh wajar disertakan dengan klausa yang menghalangnya daripada disemak atau dipinda semula pada masa hadapan.

Penganalisis politik, Dr Lee Kuok Tiung berkata, tanpa peruntukan sedemikian, mana-mana Perdana Menteri berpotensi meminda semula undang-undang berkenaan sekiranya wujud keinginan untuk melanjutkan tempoh pentadbiran melebihi dua penggal.

“Jika tiada klausa yang menghalang semakan semula, maka had tempoh ini boleh diubah pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri yang mempunyai sokongan politik mencukupi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau bagaimanapun menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) itu, menyifatkannya sebagai langkah yang konsisten, khususnya dalam usaha mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan di tangan seorang individu.

Jelas Dr Lee, cadangan tersebut menyentuh teras teori institusi politik, iaitu keseimbangan antara penumpuan kuasa dan kestabilan politik, dengan had tempoh jawatan dilihat mampu mengurangkan risiko pemusatan kuasa serta fenomena personalisation of power dalam sistem pentadbiran negara.

“Ia juga membawa maksud peralihan kepimpinan yang lebih terancang dan berstruktur, serta menuntut kewujudan barisan pelapis kepimpinan yang bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa dalam realiti politik Malaysia yang dicirikan oleh kerajaan campuran dan kestabilan koalisi yang rapuh, langkah itu turut mengundang pandangan skeptikal.

“Jika tempoh Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal, persaingan dalaman parti dan rundingan kuasa dalam koalisi berkemungkinan bermula lebih awal.

“Ini boleh mengalihkan fokus kepimpinan daripada tadbir urus kepada kelangsungan politik masing-masing,” tegasnya.

Dr Lee turut berpandangan bahawa budaya politik Malaysia yang kurang berteraskan ideologi atau dasar turut menyumbang kepada ketidakstabilan, dengan fenomena perubahan sokongan dan penjajaran politik yang kerap berlaku.

Dalam masa sama, beliau berkata terdapat kemungkinan persepsi dalam kalangan sesetengah pihak yang mempersoalkan cadangan itu, memandangkan ia tidak dilaksanakan pada peringkat awal pentadbiran Perdana Menteri.

“Kemungkinan terdapat persepsi bahawa RUU ini berpotensi dilihat sebagai langkah simbolik bahawa Perdana Menteri mahu kekal berkuasa untuk tempoh yang panjang, selain meraih sokongan bagi satu penggal lagi,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Dewan Rakyat tahun ini.

Cadangan itu turut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BERITA LAIN

378 permohonan ALAF di Tellian belum dilaksanakan

KUCHING: Sebanyak 378 permohonan di bawah Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) di Tellian belum dilaksanakan setakat ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston

BERITA TERBARU

378 permohonan ALAF di Tellian belum dilaksanakan

KUCHING: Sebanyak 378 permohonan di bawah Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) di Tellian belum dilaksanakan setakat ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston