ARTIKEL

GERALD RENTAP dan Dr. Richard bergambar kenangan bersama pemenang perlumbaan berbasikal LCC di Betong, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

Hadiah LCC dijangka berganda, sasar jaguh berbasikal antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Hadiah wang tunai bagi Karnival Berbasikal Layar (LCC) dijangka digandakan pada edisi kesembilan tahun hadapan sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, yang juga Penaung LCC sejak diperkenalkan pada 2017, menyatakan kesediaannya untuk meningkatkan jumlah hadiah bagi merangsang penyertaan serta menggilap bakat pelumba.

GERALD RENTAP dan Dr. Richard bergambar bersama penerima Anugerah Pasukan Terbaik LCC Edisi Kelapan di Betong, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

“Kita bukan mahu melahirkan jaguh kampung semata-mata, sebaliknya jaguh yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Semangat dan sambutan pelumba sepanjang lapan tahun penganjuran amat membanggakan, termasuk penyertaan peserta dari luar negara.

“Justeru, bagi penganjuran LCC edisi kesembilan tahun hadapan, kita berhasrat menggandakan hadiah yang ditawarkan sebanyak dua kali ganda sebagai salah satu usaha melahirkan jaguh berbasikal bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penangguhan LCC Edisi Kelapan di sini, hari ini.

Pada edisi kali ini, LCC menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM52,210.

Mengulas mengenai potensi penganjuran perlumbaan pada skala lebih besar, Rentap optimis bahawa Betong mempunyai kelebihan dari segi rangkaian jalan raya dan pengangkutan yang bakal menghubungkan kawasan itu dengan Pakan, Sri Aman serta kawasan lain.

“Bahagian Betong mempunyai kira-kira 1,700 rangkaian jalan yang berpotensi digunakan untuk penganjuran perlumbaan berskala lebih besar.

“Menjelang hujung tahun ini, hubungan ke Pakan dan Sri Aman juga dijangka menjadi lebih mudah. Ini membuka peluang untuk kita memperluas skala perlumbaan.

“Bagaimanapun, saya mengakui masih terdapat beberapa bahagian jalan yang belum memenuhi keperluan keselamatan.

“Oleh itu, penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan Betong mampu menjadi lokasi perlumbaan yang lebih menarik dan selamat,” ujarnya.

Rentap turut menyifatkan penganjuran LCC sepanjang lapan edisi menunjukkan perkembangan positif, dengan peningkatan dari segi pengalaman dan keupayaan penganjuran dari tahun ke tahun.

Beliau mengibaratkan perjalanan LCC seperti perkembangan seorang murid yang bermula di sekolah rendah dan kini semakin bersedia melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“LCC boleh diibaratkan seperti murid yang sudah memasuki tahun tiga sekolah rendah.

“Kita mahu terus berkembang dan bersedia untuk melangkah ke tahun enam, sebelum menuju ke peringkat sekolah menengah.

“Selepas lapan tahun perjalanan, LCC berpotensi menjadi platform penting untuk mencungkil bakat serta melahirkan atlet berbasikal yang mampu bersaing pada tahap lebih tinggi,” tambahnya.

Bagi memastikan kelangsungan dan peningkatan kualiti penganjuran, Pejabat Daerah Betong dicadangkan menjadi penganjur bersama bagi LCC edisi kesembilan dan ke-10.

Kerjasama itu diharap dapat memperkukuh pengurusan acara, meningkatkan aspek keselamatan serta memperluas potensi LCC sebagai platform pembangunan sukan berbasikal di Betong.

Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu, turut hadir.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU