KUCHING: Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, mengeluarkan ‘single’ ketiga dari album ‘Antonim Part 1’ berjudul ‘Kejora’.
Dalam satu kenyataan, syarikat label Rocketfuel Entertainment memaklumkan bahawa video muzik eksklusif ‘Kejora’ itu akan ditayangkan di saluran YouTube rasmi Hael Husaini.
“Video muzik ini dihasilkan oleh Rocketfuel Studios dan penggambaran telah dijalankan selama satu hari di Shah Alam.
“Proses penggambaran yang intensif ini berjaya menghasilkan visual yang memukau dan penuh emosi di samping menggambarkan jalan cerita yang menyentuh hati,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, kelainan yang dibawakan oleh video muzik ‘Kejora’ terletak pada konsep dan arahan kreatif artis di bawah naungannya.
Ia turut menampilkan sisi berbeza Qasrina Karim sebagai watak pasangan.
“Berbeza dengan wataknya dalam drama dan penampilannya di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahirannya menari yang jarang dilihat oleh peminat,” kenyataan itu menyebut.
Tambah kenyataan itu lagi, koreografi yang dihasilkan khas untuk video muzik ini mmenambahkan dimensi baharu kepada lakonan Qasrina.
Hael Husaini memainkan peranan sebagai seorang penyanyi dalam video muzik ini, sementara Qasrina Karim memegang watak seorang wanita yang menunggu cinta sejatinya.
Lagu ‘Kejora’ adalah hasil ciptaan Hael Husaini bersama dua komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi.
Lagu ‘Kejora’ dan album ‘Antonim Part I’ boleh distrim terus di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music.
Orang ramai juga berpeluang menghasilkan kandungan video di TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini.



