KUCHING: Ikon muzik Sarawak, Hafiz Suip bakal mencipta sejarah menerusi konsert solo berskala besar bertajuk Di Sebalik Aku yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 1 November depan.
Menurut Hafiz, konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment itu akan membawa penonton menyelami perjalanan hidupnya, termasuk perjuangan diri dan cabaran sepanjang 16 tahun bergelar anak seni.
“Perkara yang saya cuba sampaikan dalam konsert ini adalah tentang diri saya sendiri kerana ramai sebenarnya mahu tahu; apa perkembangan Hafiz? Apa yang saya lakukan selama ini sebagai penghibur? Sebagai bapa kepada anak-anak, dan apa yang berlaku dalam kehidupan saya?
“Dalam konsert ini akan ada jalan cerita dan itulah yang menarik. Seperti konsert saya sebelum ini, saya akan berikan yang terbaik untuk peminat,” katanya ketika sesi bersama media di sini, baru-baru ini.
Bagi memastikan konsert berjalan lancar, Hafiz memberi tumpuan kepada persiapan fizikal dan mental. Katanya, dalam tempoh sebulan ini beliau menjaga rutin senaman dengan berhati-hati supaya tidak berlebihan, selain ke gimnasium bagi mengekalkan kecergasan dan stamina.
Selain itu, Hafiz turut merancang untuk membuat kejutan kepada para peminat pada konsert tersebut.
“Kami memang ada menjemput artis jemputan tetapi itu elemen kejutan yang kami tidak dapat dedahkan ketika ini,” katanya sambil berseloroh, sambil memberitahu akan membuat pengumuman khas untuk peminat di Borneo pada 30 September nanti.
Sementara itu, Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata konsert ini sangat dekat dengan hati Hafiz kerana ia bukan sekadar pentas hiburan, tetapi juga perjalanan hidup yang ingin dikongsi bersama peminat.
“Kami tahu sokongan besar Hafiz datang dari Borneo, sebab itu dia mahu berikan sesuatu yang istimewa untuk mereka,” jelasnya.
Tambah Sufi, konsert ini bukan sahaja menjadi medan Hafiz kembali aktif selepas melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadinya, tetapi juga bukti ketabahan dan semangat juang penyanyi kelahiran Kuching itu.
“Kalau kita lihat, Hafiz mempunyai katalog lagu hit yang cukup banyak pada usia muda berbanding penyanyi lain.
“Setiap satunya ada cerita tersendiri dan dekat dengan peminat. Konsert ini akan menggabungkan muzik, kisah hidup serta persembahan vokal luar biasa Hafiz,” ujarnya.
Lebih 4,000 penonton dijangka membanjiri Mega Star Arena bagi menyaksikan konsert bersejarah itu. Selain persembahan solo, Hafiz turut menampilkan tetamu undangan istimewa yang identitinya masih dirahsiakan bagi mencetuskan kejutan buat peminat.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi Ticketmelon. Untuk negeri Sabah dan Sarawak, pihak penganjur akan membuat penyelarasan khas bagi memudahkan peminat setia terbang ke Kuala Lumpur menyaksikan konsert ini.



