KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 perlu menyeimbangkan hak rakyat dengan tanggungjawab mereka kepada keselamatan negara.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim, berkata, proses permohonan kewarganegaraan yang mengambil masa bertahun-tahun adalah tidak munasabah.
Ia mencerminkan ketidakcekapan pentadbiran serta kekangan perundangan sedia ada.
“Hak kewarganegaraan amat penting, dan kita akui ini adalah untuk masa depan anak-anak yang mempunyai masalah status kewarganegaraan.
“Perkara ini banyak terjadi di Sarawak, khususnya di pedalaman, yang mana kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan anak-anak angkat tanpa identiti dan tidak sah taraf disebabkan kelewatan mendaftar akibat faktor jarak tempat tinggal yang terpencil di pedalaman sangat jauh untuk ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara.
“Saya menyeru Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan memantau permohonan kewarganegaraan yang tertunggak secara lebih sistematik, serta mempercepatkan proses pengeluaran dokumen kewarganegaraan, iaitu kurang daripada setahun,” katanya.
Ahmad berkata demikian dalam perbahasan tentang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, hari ini.
Jelasnya, kerenah birokrasi melampau harus ditangani segera bagi memastikan sistem adalah lebih cekap, telus dan adil.
“Bagaimanapun, saringan yang ketat dan pemantauan secara menyeluruh harus dilakukan walaupun kita ingin mempercepatkan proses saringan.
“Jaminan keselamatan dan kepentingan negara tidak harus diabai dan tidak terjejas melalui permohonan dokumen kewarganegaraan.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri melalui JPN supaya pegawai-pegawainya di daerah pedalaman atau daerah kecil di Sarawak diberi kuasa untuk membuat keputusan tentang permohonan kewarganegaraan.
“Tujuannya, proses ini dapat dipercepatkan, selain merujuk di ibu pejabat dan pejabat JPN di daerah ini pula dapat memutuskan keputusan permohonan,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, kerajaan disaran memperkenalkan program orientasi kenegaraan nasional atau kewarganegaraan kebangsaan yang merangkumi kursus asas Bahasa Melayu, untuk membantu mereka yang kurang fasih sebelum mendaftar untuk mendapat kewarganegaraan.




