KUCHING: Rakyat Sarawak dan Sabah berhak menentukan masa depan yang berlandaskan kesaksamaan, ketelusan dan keharmonian, dengan jaminan setiap komuniti dihormati, setiap suara diambil kira serta kehendak lebih 6.9 juta rakyat Malaysia Timur diberi pengiktirafan sewajarnya.
Aktivis hak Sarawak, Peter John Jaban berkata tuntutan itu timbul susulan hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) didakwa terus diketepikan, sekali gus memaksa rakyat Malaysia Timur mempersoalkan sama ada suara, identiti dan masa depan mereka benar-benar dihormati.
“Keluhan dan rasa tidak puas hati yang dibangkitkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak dan Sabah jelas menunjukkan bahawa kekecewaan akibat puluhan tahun pengabaian, janji yang dimungkiri serta peminggiran telah mencapai tahap kritikal.
“Keluhan ini disuarakan oleh ahli Parlimen, senator, tokoh politik Malaysia Timur, aktivis sosial serta jutaan rakyat Sarawak dan Sabah, sama ada melalui platform dalam talian mahupun luar talian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, meskipun Sarawak dan Sabah kaya dengan sumber semula jadi, budaya dan kepelbagaian, keputusan penting yang memberi kesan besar kepada rakyat masih terlalu tertumpu di Kuala Lumpur.
“Pemusatan kuasa ini menyebabkan rakyat Malaysia Timur mempunyai kawalan terhad terhadap kekayaan sendiri, keutamaan pembangunan serta hala tuju masa depan jangka panjang.
“Sejak penubuhan Malaysia, dasar Persekutuan dilihat lebih memihak kepada Semenanjung Malaysia. Akibatnya, Malaysia Timur terus ketinggalan dari segi pertumbuhan ekonomi, menghadapi masalah keterhubungan luar bandar serta kekurangan pelaburan berterusan dalam sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pertikaian undang-undang yang sedang berlaku melibatkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berkaitan hak sumber.
“Lebih memburukkan keadaan, PETRONAS membawa kedua-dua kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan ke mahkamah berhubung pertikaian sumber, sekali lagi menunjukkan hak Malaysia Timur sering dicabar, bukannya dihormati,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat Sarawak dan Sabah kini semakin tidak selesa apabila terus diseret ke dalam ketegangan politik, ideologi, perkauman dan keagamaan serta ketidakstabilan yang bukan mereka ciptakan.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya merangkap Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Sarawak kekal fokus memastikan hak negeri di bawah MA63 dihormati, khususnya dalam pengurusan sumber minyak dan gas, sambil mengekalkan kerjasama dengan PETRONAS.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program The Breakfast Grille di stesen radio BFM 89.9, sambil menjelaskan isu minyak dan gas sering disalah tafsir sedangkan pendirian Sarawak adalah untuk menuntut hak serta kawalan sewajarnya sebagaimana termaktub dalam MA63.



