ARTIKEL

Hakim Danish Puas Hati Raih Mata Di Belanda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli tetap berpuas hati apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh pada perlumbaan Moto3 Grand Prix Belanda di Litar TT Assen, semalam meskipun berhadapan masalah cengkaman tayar.

Hakim Danish berkata beliau berjaya menguruskan perlumbaan dengan baik selepas memulakan saingan dari petak ke-16 sebelum menyertai kelompok pendahulu dan bersaing untuk kedudukan tiga terbaik.

“Perlumbaan agak sukar, tetapi saya dapat menguruskan perlumbaan dengan baik pada mulanya. Bermula dari P16, saya berjaya menembusi kelompok pendahulu dan bersaing untuk kelompok tiga terbaik.

“Perlumbaan menjadi sangat sengit apabila satu lagi kumpulan berjaya mengejar kami. Saya cuba mengekalkan momentum walaupun tidak begitu yakin dengan prestasi tayar dan akhirnya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Semalam, Hakim Danish yang bermula dari petak ke-16, mempamerkan tunggangan luar biasa untuk berada dalam kelompok pendahulu dan berada di kedudukan tiga terbaik sepanjang 25 pusingan.

Bagaimanapun, berbaki lima pusingan Hakim Danish seakan bergelut dengan jenteranya hingga kehilangan momentum, menyebabkan beliau dipintas beberapa pelumba sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 33 minit 56.275 saat (s).

Keputusan itu membolehkan pelumba berusia 18 tahun itu menambah sembilan mata untuk menghuni tangga keenam kedudukan Moto3 dengan keseluruhan 82 mata. — BERNAMA

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU