KOTA SAMARAHAN: Halaman Samarahan yang baru selesai dinaik taraf menerusi projek fasa pertama bernilai RM1.5 juta berpotensi menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran acara berskala negeri, nasional dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, potensi itu terbukti menerusi kejayaan penganjuran Karnival Jom Heboh baru-baru ini yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan luar Kota Samarahan.

Kedudukan strategik Halaman Samarahan berhampiran kawasan pentadbiran dan penempatan penduduk menjadikannya mudah dikunjungi serta sesuai untuk penganjuran acara berskala besar.
“Projek ini dimulakan pada 28 Mei lalu dan dijadualkan siap pada 30 Julai, namun berjaya disiapkan lebih awal pada 17 Julai.
“Susulan itu, ia digunakan untuk penganjuran Karnival Jom Heboh pada minggu lalu dan terbukti mampu menampung program berskala besar.
“Berdasarkan pengalaman itu, tidak mustahil untuk kita menganjurkan lebih banyak program besar di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan siap Projek Naik Taraf Halaman Samarahan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), di sini, hari ini.
Beliau berkata, sambutan terhadap Karnival Jom Heboh bukan sahaja diterima daripada masyarakat setempat, malah pengunjung dari Serian, Kuching dan kawasan sepanjang Jalan Pesisir turut hadir.

Menurutnya, projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan pelbagai aktiviti dan program.
Kemudahan di kawasan berkenaan akan dipertingkatkan menerusi fasa kedua termasuk penyediaan tandas, bekalan elektrik dan air serta pentas ringkas bagi mengurangkan kos penganjuran acara.
“Keseluruhan peruntukan projek ini berjumlah RM3.8 juta, dengan RM1.5 juta diperuntukkan bagi fasa pertama yang telah siap, manakala fasa kedua akan dilaksanakan dengan beberapa kemudahan tambahan termasuk pencahayaan bernilai kira-kira RM500,000 serta pembinaan mercu tanda tahun depan, tertakluk kepada peruntukan yang diterima secara berperingkat,” katanya.
Rubiah berkata, Halaman Samarahan perlu dimanfaatkan bukan sahaja sebagai lokasi penganjuran acara, malah ruang rekreasi masyarakat menerusi aktiviti kekeluargaan, sukan belia seperti sepak takraw, sukan rakyat dan program hujung minggu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Halaman Samarahan bakal menjadi lokasi penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) serta Program GEMA anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos 2026.
Mengulas sejarah kawasan itu, Rubiah berkata, pembangunan Halaman Samarahan diilhamkan oleh mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, untuk dijadikan kawasan terbuka bagi kegunaan masyarakat.

