KOTA SAMARAHAN: Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2026 bakal kembali dengan skala lebih besar bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan ulang tahun ke-40 Samarahan sebagai sebuah bahagian.
Pengerusinya, Abang Ismawi Abang Ali berkata, penganjuran tahun ini yang bermula 26 Jun hingga 5 Julai depan akan berpindah ke lokasi baharu di Halaman Samarahan bagi menawarkan kemudahan yang lebih baik serta suasana selesa kepada pengunjung.
“Festival ini akan berlangsung setiap hari dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam. Kami memilih Halaman Samarahan pada tahun ini kerana ia menyediakan kawasan parkir yang luas serta kemudahan lebih baik termasuk tandas yang mencukupi berhampiran Dewan Suarah dan Pangkalan Feri.
“Lokasi ini sedang dinaik taraf di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan dijangka menjadi hab tetap bagi acara besar di Samarahan, termasuk Jom Heboh yang akan berlangsung pada Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pesta Terubuk Lan Berami Nge Sadong 2026 dan SFCF di Perpustakaan Awam Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Menurutnya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka menyempurnakan majlis perasmian pembukaan pada 27 Jun serta majlis penutupan pada 4 Julai.
Mengulas lanjut, katanya, festival yang menampilkan kepelbagaian budaya, seni dan warisan masyarakat Sarawak itu turut menyediakan ruang pemasaran kepada usahawan tempatan menerusi penyediaan 58 tapak gerai.
“Kami memperuntukkan 20 tapak gerai makanan, enam tapak minuman dan enam tapak makanan panggang dengan kadar sewa RM700 setiap satu.
“Selain itu, kami turut menyediakan 15 tapak makanan serta minuman tular, enam tapak dapur panas serta lima tapak korporat pada kadar RM3,000 bagi setiap kanopi.
“Agensi kerajaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut dijemput untuk membuka reruai bagi mempromosikan program dan perkhidmatan masing-masing,” jelasnya.
Beliau menambah, pelbagai aktiviti menarik turut disusun bagi memeriahkan program tersebut, termasuk pertandingan Ratu Kebaya dan Ratu Cilik Kebaya, Battle of Buskers, Samarahan Idol serta pertandingan Kumang Gawai anjuran Persatuan Kebudayaan Dayak Sarawak (SDCA) Samarahan pada 3 Julai.
“Selain itu, aktiviti menarik lain termasuklah Pertandingan Bertandak Melayu, Pertandingan Karaoke Cina dan persembahan hiburan oleh artis jemputan seperti Nai Dinamik, Faris Malek, Nurhijrah, Rizal AF, Lucy M, Leez Zwita, Ricky Andrewson, Allesandro serta artis tempatan lain.
“Bagi acara bukan pentas pula, pelbagai aktiviti turut disusun termasuk Night Run, pertandingan e-sukan mudah alih, street soccer, memanah, seni silat tari, memasak dan karom.
“Di samping itu, turut diadakan adalah pesta nanas, pertandingan gubahan bunga, slingshot, hiasan kek, mewarna dan pertunjukan kereta,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan penyertaan 2,000 peserta bagi acara Night Run pada 5 Julai yang dianjurkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).




