SARATOK: Seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Saratok selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberi kerjasama kepada pasukan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Saratok ketika operasi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sebuah kedai makan di Roban pada 19 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira 10.23 pagi itu, lelaki berkenaan dikesan merokok di kawasan larangan tempat makan.
Namun, dia enggan memberikan butiran peribadi bagi pengeluaran notis kompaun sebelum melarikan diri. Tindakannya dirakam menggunakan kamera badan salah seorang pegawai penguat kuasa.
Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Saratok pada 20 Oktober, sebelum kertas siasatan dibuka oleh Inspektor Henry Muji dari IPD Saratok.
Majistret Nurul Intan Fareena Zainal Abidin menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar. Tertuduh membayar denda tersebut.
Pejabat Kesihatan Bahagian Betong dan Pejabat Kesihatan Daerah Saratok menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas, sambil menyeru orang ramai memberi kerjasama demi keselamatan komuniti.

