MUKAH: Hampir 1,000 pengunjung membanjiri program Juh Berambih Sungkai di Dataran Pehin Setia Raja, pada petang Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata program ini membolehkan penyertaan komuniti bukan Islam sebagai tanda solidariti dan menghormati budaya, selari dengan semangat masyarakat majmuk di Sarawak, khususnya Mukah.
“Selain itu, program ini mewujudkan kepercayaan antara komuniti dan institusi tempatan melalui interaksi santai yang secara tidak langsung meningkatkan kohesi sosial.
“Pada masa sama, ia juga melahirkan generasi yang aktif dalam kerja kemasyarakatan dan penganjuran program komuniti,” katanya.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata program tersebut bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi simbol kerjasama serta perpaduan dalam kalangan komuniti.


“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja berkongsi juadah, tetapi turut berkongsi kasih sayang dan menghargai hubungan dalam masyarakat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini dan memastikan ia berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pegawai UKAS Bahagian Mukah, Hafizzul Abdul Halim berkata program tersebut bertujuan menghidupkan suasana Ramadan melalui aktiviti berbuka puasa secara berjemaah sekali gus mewujudkan suasana kebersamaan serta mengeratkan hubungan silaturahim.
“Program di ruang awam seperti ini memberi mesej keterbukaan dan inklusif, sesuai dengan konteks masyarakat majmuk khususnya di bandar Mukah.

“Pada masa sama, ia menjadi platform komunikasi dua hala secara tidak formal antara wakil rakyat dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Program kali ini turut mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk Mukah.
Beliau turut berterima kasih kepada Pusat Khidmat Tellian, Pusat Khidmat Balingian dan Pusat Khidmat Mukah yang menyokong serta menyemarakkan lagi suasana berbuka puasa dengan pelbagai juadah untuk dikongsi bersama dan diagihkan kepada orang ramai.
Terdahulu, program ini merupakan anjuran UKAS Bahagian Mukah, Pusat Khidmat N57 Tellian, Pusat Khidmat N58 Balingian dan Pusat Khidmat P213 Mukah.
Program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Mukah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.





