ARTIKEL

MAHABBAH… Dr Abdul Rahman Junaidi merakam kenangan bersama pelajar.

Hampir 300 kumpulan mengaji Sarawak daftar dengan DHQc-MIS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hampir 300 kumpulan pengajian al-Quran di seluruh Sarawak kini berdaftar dengan Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) menerusi inisiatif Anjung Ngaji Sarawak bagi memperkukuh mutu bacaan serta memperluas pendidikan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata jumlah pendaftaran itu menunjukkan perkembangan positif usaha membudayakan pembacaan al-Quran secara lebih tersusun di seluruh negeri.

Menurutnya, sebanyak 290 kumpulan mengaji berdaftar sebelum ini dan jumlah itu kini menghampiri 300 kumpulan, merangkumi kegiatan pengajian yang dijalankan di kampung, taman perumahan serta tempat kerja.

“Setakat ini, saya dimaklumkan hampir 300 kumpulan mengaji di Sarawak telah mendaftar dengan DHQc-MIS.

“Sekiranya ada kumpulan mengaji yang berhasrat meningkatkan kualiti bacaan, mereka boleh berhubung dengan pusat berkenaan kerana banyak manfaat yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mahabbah al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Laut di Dewan Masyarakat Kampung Telaga Air, di sini, pagi tadi.

Abdul Rahman berkata DHQc-MIS yang diwujudkan di bawah Majlis Islam Sarawak pada 2025 berperanan memperluas kegiatan pengajian al-Quran, selain menyediakan bimbingan bagi membantu masyarakat meningkatkan mutu bacaan.

Jelasnya, pusat itu mempunyai tenaga pengajar berpengalaman, termasuk bekas qari dan qariah di peringkat bahagian serta negeri yang berupaya membimbing kumpulan mengaji secara lebih sistematik.

“Kita mungkin sudah pernah khatam al-Quran, tetapi usaha seterusnya adalah untuk memperbaiki kualiti bacaan, terutama dari segi tajwid.

“DHQc-MIS mempunyai tenaga pengajar yang boleh membantu membimbing kumpulan mengaji supaya bacaan mereka menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata kumpulan yang mendaftar menerusi Anjung Ngaji Sarawak turut dibekalkan bahan pembelajaran merangkumi asas Iqra, panduan tajwid dan taranum serta naskhah Mushaf Sarawak.

Menurutnya, kemudahan itu bertujuan memastikan kegiatan pengajian al-Quran bukan sekadar tertumpu kepada usaha mengkhatamkan 30 juzuk, sebaliknya turut menitikberatkan ketepatan bacaan dan penguasaan ilmu al-Quran secara berterusan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman menggalakkan ibu bapa dan pihak sekolah memastikan kanak-kanak mendapat bimbingan al-Quran sejak usia muda, termasuk berusaha mengkhatamkan 30 juzuk sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Beliau turut memuji pencapaian empat murid Tahun Enam SK Sibu Laut yang berjaya mengkhatamkan al-Quran hasil bimbingan guru dan sokongan pihak sekolah.

Katanya, kejayaan qariah Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa, yang muncul johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa turut membuktikan bahawa bimbingan dan latihan berterusan mampu melahirkan pembaca al-Quran berkualiti.

“Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak kumpulan pengajian al-Quran di seluruh negeri tampil mendaftar dengan DHQc-MIS supaya manfaat bimbingan dapat diperluas kepada masyarakat, sekali gus menjadikan pembacaan al-Quran sebagai amalan berterusan dalam kehidupan seharian,” katanya.

BERITA LAIN

DBNA bantu percepat pengukuran NCR, dipuji Premier

SERIAN: Kesediaan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) membantu kerja pengukuran tanah adat Bumiputera (NCR) secara sukarela dilihat mampu mempercepat usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah

BERITA TERBARU

DBNA bantu percepat pengukuran NCR, dipuji Premier

SERIAN: Kesediaan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) membantu kerja pengukuran tanah adat Bumiputera (NCR) secara sukarela dilihat mampu mempercepat usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah