KAPIT: Sebanyak RM1.35 juta disalurkan bagi membantu menaik taraf kemudahan sekolah mubaligh serta menyokong aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti di sekitar Kapit.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata: peruntukan itu merangkumi RM1.24 juta Bantuan Dana Sekolah Mubaligh Tahun 2026 (Fasa 1) daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Premier Sarawak, serta RM116,500 menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 13 penerima.

“Setiap peruntukan yang disalurkan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya membawa harapan untuk menyediakan kemudahan lebih baik serta manfaat berterusan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Dana Sekolah Mubaligh, Cek MRP serta Penyerahan Bakul Makanan RAHMAH di Hotel Meligai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan dana sekolah mubaligh itu disalurkan kepada lapan sekolah di sekitar Kapit bagi melaksanakan kerja menaik taraf dan membaik pulih bilik darjah, kuarters, dewan serta gelanggang.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan turut digunakan bagi menyediakan perabot dan kelengkapan sekolah demi meningkatkan keselesaan warga sekolah serta menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih baik.
Pada majlis sama, sebanyak RM116,500 menerusi cek MRP diserahkan kepada 13 penerima terdiri daripada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), kelab, persatuan serta badan komuniti di sekitar Kapit.
Sementara itu, seramai 35 mangsa bencana di sekitar Kapit turut menerima Bakul Makanan RAHMAH sumbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meringankan beban mereka.
Dalam pada itu, Nanta turut mengingatkan semua penerima supaya menggunakan bantuan yang diberikan dengan penuh amanah, berhemah dan bertanggungjawab.
“Setiap perbelanjaan perlu direkodkan serta dilaporkan secara teratur bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan dana.
“Bagi wakil kelab dan persatuan, peruntukan yang diterima perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan serta kebajikan ahli masing-masing,” tambahnya.


