ARTIKEL

Abang Johari ketika berucap pada majlis itu. | FOTO: RAMIDI SUBARI

Jadikan Serian ‘Mini New Zealand’, anak muda perlu kuasai AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Impian menjadikan Serian sebagai “Mini New Zealand” bukan sekadar bergantung kepada keindahan landskap dan potensi pertaniannya, sebaliknya perlu disokong oleh pembangunan modal insan yang mampu menggerakkan ekonomi baharu berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata: Serian mempunyai kelebihan dari segi landskap berbukit-bukau, industri penternakan serta keunikan budaya masyarakat tempatan yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor pertanian dan pelancongan.

Abang Johari ditemani tetamu kehormat lain tiba pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian 2026. | FOTO: RAMIDI SUBARI

“Potensi ini perlu dibangunkan secara mampan menerusi kerjasama sektor awam dan swasta, termasuk pembangunan kemudahan pelancongan serta penyelidikan pertanian di Semenggok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, di sini, hari ini.

Selain itu, Abang Johari menegaskan bahawa perkembangan ekonomi dunia yang kini memasuki era revolusi kelima, berteraskan kuantum AI dan robotik turut menuntut Sarawak menyediakan generasi muda dengan ilmu serta kemahiran baharu.

Jelasnya, penguasaan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) penting bagi memastikan anak Sarawak mampu bersaing dan mengambil bahagian dalam ekonomi global yang semakin dipacu teknologi.

“Ekonomi dunia sudah berubah. Kita berada dalam revolusi kelima, iaitu era kuantum AI dan robotik. Sebab itu kita mesti menyediakan anak-anak kita dengan ilmu baharu,” ujarnya.

Tambah Abang Johari, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) oleh Kerajaan Sarawak antara langkah memastikan pelajar berpotensi tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian akibat kekangan kewangan keluarga.

Abang Johari ditemani tetamu kehormat lain melancarkan buku bertajuk “Serian A Decade Journey” sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian 2026. | FOTO: RAMIDI SUBARI

Menurutnya lagi, inisiatif itu membolehkan anak Sarawak yang memenuhi syarat kelayakan akademik melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tanpa dibebani yuran pengajian.

Katanya, sistem pendidikan negeri juga terus diperkasakan menerusi penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris selain bahasa Melayu, termasuk penggunaan silibus Cambridge bagi meningkatkan standard pendidikan pelajar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kemajuan teknologi AI perlu dimanfaatkan secara bijaksana kerana walaupun mampu melaksanakan pelbagai tugas seperti manusia, teknologi itu masih tidak mempunyai kebijaksanaan dan pertimbangan semula jadi manusia.

Abang Johari beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian 2026. | FOTO: RAMIDI SUBARI

Justeru, beliau mahu lebih ramai anak Sarawak menguasai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan, khususnya dalam pembangunan industri berteknologi tinggi.

Abang Johari yakin gabungan pembangunan ekonomi berasaskan kekuatan tempatan dengan modal insan berkemahiran tinggi mampu meletakkan Serian pada kedudukan lebih strategik dalam gelombang pembangunan Sarawak menjelang 2030 hingga 2050.

Hadir sama ialah tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, selain tetamu kehormat lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU