ARTIKEL

DBNA bantu percepat pengukuran NCR, dipuji Premier

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Kesediaan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) membantu kerja pengukuran tanah adat Bumiputera (NCR) secara sukarela dilihat mampu mempercepat usaha kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah di Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama DBNA dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak amat bermakna ketika kerajaan berdepan kekurangan juruukur, manakala jumlah kawasan tanah yang perlu diukur semakin meningkat.

Tegasnya, DBNA bukan sekadar menyuarakan isu berkaitan tanah, malah tampil menawarkan khidmat untuk membantu kerajaan melaksanakan kerja pengukuran di lapangan.

“Saya memuji DBNA kerana mereka menawarkan diri untuk membantu mengukur tanah dan menjadi rakan kepada Jabatan Tanah dan Survei bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Orang lain mungkin hanya bercakap dan mengkritik kerajaan, tetapi DBNA mengambil tindakan. Saya amat menghargai usaha masyarakat Bidayuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian di Pusat Konvensyen Serian, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Abang Johari memberitahu bahawa pengukuran dan pendaftaran tanah secara sistematik penting bagi memastikan setiap pemilik mempunyai rekod hak milik yang jelas, sekali gus mengelakkan pertikaian, khususnya dalam kalangan ahli keluarga.

Jelasnya, tanah yang tidak diurus dengan baik boleh menjadi punca perselisihan apabila timbul perbezaan pandangan mengenai pewarisan dan pemilikan dalam sesebuah keluarga.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan memastikan setiap tanah diukur serta didaftarkan mengikut sistem Torrens yang menjadi asas kepada sistem pendaftaran tanah di Sarawak.

Menurutnya lagi, sistem itu membolehkan pemilikan tanah direkodkan secara rasmi melalui geran dan pendaftaran bagi memberikan kepastian kepada pemilik serta mengelakkan masalah berkaitan sempadan dan hak milik.

Bagi menangani kekurangan tenaga mahir, katanya, beliau turut meminta Jabatan Tanah dan Survei menghantar pegawai mengikuti latihan di universiti teknologi di Johor bagi mempelajari penggunaan peralatan serta kaedah pengukuran tanah moden.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur turut menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kawasan di seluruh Sarawak mempunyai hubungan yang lebih baik dan tidak berkembang secara terasing.

Katanya, pembinaan jaringan jalan raya dan jambatan membolehkan kegiatan ekonomi antara kawasan disepadukan, termasuk menghubungkan Serian dengan Samarahan menerusi pembangunan jalan empat lorong.

Tambahnya, laluan itu akan memudahkan penduduk Serian mendapatkan akses ke institusi pendidikan tinggi, kemudahan kesihatan dan pusat penyelidikan di Samarahan, selain mengukuhkan hubungan ekonomi dengan Greater Kuching.

Sehubungan itu, beliau yakin gabungan pengurusan tanah yang teratur, kerjasama masyarakat dan pembangunan infrastruktur mampu memperkukuh asas pembangunan Sarawak serta memastikan manfaatnya dinikmati rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU